Thursday, 7 March 2019

Penyewa yang diusir akan tinggal di Komtar sehingga rundingan dijalankan



PULAU PINANG 7 Mac - Kira-kira enam penyewa bersama ahli keluarga yang diusir dari kediaman mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Georgetown semalam tiada pilihan lain selain menjadikan Pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini sebagai tempat tinggal sementara.

Difahamkan, enam penyewa tersebut bersama keluarga termasuk anak mereka yang masih bersekolah tinggal di perkarangan Komtar selepas kediaman mereka dikunci Bahagian Perumahan kerajaan negeri manakala penyewa lain tinggal di surau serta menumpang di kediaman saudara mara berhampiran.


Mereka juga dikatakan akan tinggal di situ sehingga kerajaan negeri berunding dengan kesemua penyewa bagi menyelesaikan isu tersebut.

Sehingga hari ini, penyewa mendakwa tiada wakil daripada pihak kerajaan negeri datang berjumpa dengan mereka walaupun mereka telah 'berkampung' di Komtar.

Seorang penyewa, Aida Nazir, 64, berkata, selepas kediaman tersebut dikunci dia tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat mengambil barang keperluan dari rumah.

"Kami akan tinggal di Komtar sehingga kerajaan negeri berunding dengan kami untuk menyelesaikan masalah ini.

"Tiada seorang pun dari pihak kerajaan negeri datang berunding dengan kami, kami tidak mampu mencari rumah lain selain rumah PPR tersebut," katanya ketika ditemui di Komtar di sini hari ini.

Semalam, kira-kira 22 penyewa diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing selepas hilang kelayakan menduduki rumah PPR termasuk melebihi kemampuan, mempunyai rumah lain dan berkahwin dengan warga asing. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment