Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), S.M Mohamed Idris mendakwa, menerusi PIP itu, kawasan laut, lereng bukit serta alam semula jadi bakal dimusnahkan namun masih ramai rakyat negeri ini yang tidak sedar mengenai perkara tersebut.

"Ramai yang tidak mengetahuinya (PIP), disebabkan itu mereka dikatakan sebagai menyokong projek tersebut secara diam.

"Negeri ini mempunyai terlalu banyak bangunan yang tidak terjual, PIP hanya menyebabkan kawasan lereng bukit, laut dan alam sekitar terjejas, kita mesti membantah projek sebegini," katanya, di sini hari ini.

Beliau bersama lebih 30 aktivis alam sekitar negeri ini antaranya ahli SAM, Penang Forum dan penduduk-penduduk di sekitar Permatang Damar Laut mengadakan demonstrasi secara aman di Jalan Masjid Negeri bagi membantah projek PIP.

PIP merupakan projek mega yang dirancang kerajaan negeri yang melibatkan beberapa komponen pemba­ngunan termasuk pembinaan tiga pulau buatan di selatan perairan negeri ini dan terowong dasar laut.

Projek itu bagaimanapun dibantah pelbagai pihak kerana selain disifatkan terlalu mahal, turut memberi impak negatif kepada penduduk khususnya komuniti nelayan selain risiko kemusnahan besar alam sekitar.

Dalam pada itu, seorang penduduk dari Permatang Damar Laut, Zarina Baharom, 52, berkata, projek PIP itu bakal memberikan impak kepada nelayan pesisir pantai khususnya di kawasan Teluk Kumbar dan Permatang Damar Laut.

"Kerajaan negeri seolah-olah mahu menutup punca rezeki para nelayan di sana.

"Sekarang pun pendapatan mereka tidak menentu, nanti apabila kawasan ini ditambak apa yang mereka nak makan," katanya. - UTUSAN ONLINE