Monday, 11 March 2019

PULAU PINANG (2) - (1) SELANGOR UNITED



Terima kasih kepada 2,014 orang penyokong yang turun ke Stadium Bandaraya semalam..!

Pulau Pinang bangkit semula benam Selangor United.

Kemenangan yang digapai memberi sinar kebangkitan skuad Pulau Pinang apabila berjaya membenam Selangor United 2-1 di Stadium Bandaraya malam tadi.

Sekalung tahniah perlu diberikan kepada semua pemain Harimau Kumbang yang kini dikendalikan oleh Penolong Jurulatih, Kamal Kalid buat sementara waktu bagi menggantikan Ketua Jurulatih, Ahmad Yusof.

Kamal berkata, tiada apa yang mampu diungkapkan melainkan rasa bersyukur kepada Allah SWT di atas kemenangan ini selepas tewas 1-2 di tangan UiTM FC di laman sendiri minggu lalu.

“Pujian harus diberikan kepada kepada semua pemain di atas kemenangan ini biarpun ketinggalan satu gol selepas Selangor United menjaringkan gol pertama hasil jaringan Rizal Fahmi pada minit ke-16.

Pulau Pinang berjaya menjaringkan gol sulung hasil jaringan Dhiyaulrahman Hasry pada minit ke-55 biarpun ketinggalan namun pemain bingkas bangkit segera untuk memastikan tiga mata penuh milik Pulau Pinang apabila sepakan percuma Aziz Ismail terbias pemain lawan lalu menerjah jaring pada minit ke-64.

“Kita berjaya mengekat kemaraan pemain Selangor United termasuk sepakan penalti yang berjaya diselamatkan penjaga gawang, Muhammad Hazrull Hafiz yang beraksi cemerlang malam tadi,” katanya.

Menurutnya lagi, dia hanya menyambung tugas dan amanah yang diberikan dan alhamdulillah rezeki kemenangan menjadi milik mutlak Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment