Wednesday, 20 March 2019

Pulau Pinang tuntut penjelasan Kedah status Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.



GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang mahu Kerajaan Pusat melakukan kajian kebolehlaksanaan terlebih dahulu sebelum melaksanakan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan Pulau Pinang juga mahu penjelasan daripada negeri Kedah berhubung status lapangan terbang di Kulim itu, sama ia kategori kargo atau penumpang.

“Pengumuman peruntukan RM1.6 bilion bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim adalah mengejutkan kerana ia sepatutnya akan dibangunkan pihak swasta, seperti yang sudah dibincangkan dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Isnin lalu,’ katanya, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengumumkan kerajaan Pusat meluluskan projek berimpak tinggi di Kedah membabitkan pembinaan infrastruktur baharu dan program kebajikan khusus bagi penduduk luar bandar berjumlah lebih RM3.6 bilion.

Antara projek diluluskan adalah pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion dan pembinaan Lebuhraya Koridor Utara Fasa 1A (Bandar Baharu-Sungai Petani) dan Fasa 1B (Bandar Baharu-Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah) bernilai RM1.7 bilion.

Kredit Berita Harian Online

No comments:

Post a comment