Saturday, 9 March 2019

Seminggu hilang, Cikgu Yahaya ditemukan maut di curam bukit



PULAU PINANG 9 Mac - Misteri kehilangan seorang pesara guru dari Balik Pulau di sini yang mempunyai masalah ingatan sejak seminggu lalu akhirnya terjawab selepas mayatnya ditemukan di kawasan hutan Bukit Cengkih di sini.

Mayat Yahaya Mohamed, 80, ditemukan kira-kira pukul 4.45 petang tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat di kawasan curam sedalam hampir 10 meter.


Menurut anak mangsa, Mohamad Rahimi, mayat bapanya itu ditemukan tidak jauh dari lokasi kereta Perodua Kancil yang dipandunya pada hari terakhir dia dilaporkan hilang.

Tambahnya, setakat ini bapanya dipercayai terjatuh ketika melalui kawasan bukit itu dan dipercayai terhantuk pada batu berikitan terdapat kesan darah pada bahagian kepalanya.

Yahaya sebelum ini dilaporkan hilang selepas keluar bersendirian dari rumahnya di Hilir Sungai Burung  sejak Sabtu lalu dengan menaiki kereta Perodua Kancil berwarna perak.

Dia yang mempunyai masalah ingatan dikatakan dalam perjalanan ke rumah rakannya yang dikenali sebagai Kak Teh di Kampung Terang, Balik Pulau pada hari kejadian namun menurut kenalannya itu, mangsa tidak tiba di rumahnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan mengesahkan penemuan itu dan memaklumkan mayat mangsa dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment