Saturday, 16 March 2019

Tauke warga asing digempur Imigresen Pulau Pinang



BUKIT MERTAJAM, 15 Mar - Jika di Selayang pasar borong mereka pegang, di Bukit Mertajam pula Plaza Summit dikuasai oleh warga Myanmar. Bukan setakat yang datang untuk membeli belah bahkan ramai usahawan warga terbabit yang menjana keuntungan dengan berdagang.

Dalam mendaulatkan undang-undang negara, Bahagian Penguatkuasa Imigresen Pulau Pinang telah menjalankan Operasi Bersepadu bagi memburu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di plaza terbabit.





Tumpuan operasi diberikan ke atas kedai-kedai disyaki dikendalikan oleh warga asing yang menjalankan pelbagai perniagaan di plaza tersebut.

Dalam operasi yang dijalankan, sebanyak 6 buah kedai telah diserbu dengan seramai 37 warga asing telah diperiksa. Hasilnya seramai 20 orang PATI yang disyaki sebagai pekerja di kedai-kedai terbabit telah berjaya ditangkap.

Mereka yang ditangkap terdiri daripada 1 wanita Indonesia, 9 lelaki & 4 wanita Myanmar1 lelaki Bangladesh, 1 lelaki & 1 wanita Nepaldan 3 lelaki Pakistan atas pelbagai kesalahan dibawah Akta dan Peraturan-peraturan Imigresen. Selain itu, 3 orang pemilik perniagaan turut ditangkap untuk siasatan lanjut.

Menurut Pengarah Imigresen Negeri Pulau Pinang Muhamad Husni Mahmud, JIMPP kerap menerima aduan berkenaan warga asing yang dikatakan menjalankan perniagaan di plaza terbabit.

"Imigresen tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi undang-undang negara. Siasatan dan tindakan lanjut akan dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada".

Menurutnya lagi, adalah diingatkan mana-mana orang yang menggaji seseorang yang tidak memiliki Pas yang sah jika disabitkan dengan kesalahan akan dikenakan denda tidak kurang daripada sepuluh ribu ringgit tetapi tidak lebih daripada lima puluh ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada dua belas bulan atau kedua-duanya untuk setiap majikan.

Tanggungjawab menjaga Kedaulatan dan Keselamatan negara bukan hanya terletak pada satu pihak semata-mata, tindakan membenteras PATI juga harus melibatkan semua pihak dan segenap lapisan masyarakat


No comments:

Post a Comment