Saturday, 27 April 2019

200 nelayan pantai di Changkat, Seberang Perai Selatan (SPS) terjejas, laut dan sungai tercemar

Lebih 200 nelayan pantai di Changkat, Seberang Perai Selatan (SPS) di sini terjejas sumber pendapatan mereka berikutan masalah pencemaran sungai dan laut yang semakin serius di kawasan itu.


Kejadian itu yang sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu gagal diambil tindakan oleh kerajaan negeri dan jabatan terlibat walaupun berpuluh aduan dibuat nelayan terbabit.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), S. M. Mohamed Idris berkata, masalah itu menyebabkan sumber tangkapan utama nelayan-nelayan pantai seperti ikan, udang, kerang, siput, sotong dan ketam merosot sehingga 70 peratus.



Tambah beliau, tinjauan pihaknya mendapati air sungai dan laut di kawasan berkenaan terlalu kotor dan berbau busuk.

“Selain warnanya yang hitam pekat dan berminyak, berbagai-bagai hahan buangan termasuk plastik terapung memenuhi permukaan air serta mendap di dalam lumpur.

“Keadaan tersebut berlaku dipecayai berpunca daripada pelepasan sisa buangan dari kilang kelapa sawit, ladang ternakan ayam serta tapak pelupusan sampah yang terdapat di daerah itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut S. M. Mohamed, pihaknya amat kesal walaupun kejadian itu sudah lama mencemarkan alam sekitar dan mengancam hidupan laut serta kehidupan nelayan di daerah berkenaan, namun tiada tindakan berkesan diambil pihak berwajib.

Tambah beliau, pihaknya percaya jika keadaan itu terus dibiarkan, nelayan-nelayan pantai di kawasan tersebut yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan sungai dan laut akan terputus mata pencarian untuk menyara kehidupan.

“SAM turut bimbang hutan paya bakau yang terdapat di kawasan itu juga akan terancam dan musnah jika pencemaran ini berterusan,” katanya.



Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri;, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Jabatan Alam Sekitar (JAS); Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perkhidmatan Viterinar (JPV) bertindak segera bagi menangani masalah itu.

Katanya, undang-undang sedia ada perlu dikuatkuasakan dengan tegas dan pemantauan yang berterusan hendaklah dilakukan pihak berkenaan dengan lebih kerap supaya kejadian tersebut tidak berulang. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment