Thursday, 18 April 2019

48 unit mesin air bertapis tidak berlesen di sita di Pulau Pinang


KEPALA BATAS: Jabatan Kesihatan Pulau Pinang menyita 48 unit mesin jualan air bertapis bernilai RM230,400 dalam operasi di sekitar negeri ini, hari ini.

Dalam operasi disertai lebih 30 penguat kuasa itu, kebanyakan mesin berkenaan dipasang tanpa lesen daripada Jabatan Kesihatan negeri, selain mengabaikan faktor kebersihan dan kesihatan.


Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan negeri, Mohd Wazir Khalid, berkata pemilik perlu mendapatkan lesen daripada Jabatan Kesihatan, dengan makluman mengenai perkara itu sudah dihebahkan sejak 2015.


“Namun sehingga kini didapati pemilik-pemilik ini tidak berminat untuk memohon lesen sebaliknya menampal kandungan ayat yang memperdaya pengguna.

“Selain itu, pemilik juga dilihat tidak menyelenggara mesin air supaya berada dalam keadaan baik apabila ada penutup yang terbuka dan boleh mengundang kehadiran binatang atau serangga,” katanya selepas operasi berkenaan di Bertam Perdana, di sini.

Operasi turut disertai Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Mohd Wazir meminta pemilik mesin air terbabit tampil untuk memohon lesen sebelum tindakan undang-undang diambil.

“Kita memberi tempoh enam bulan untuk pemilik mesin air ini tampil. Sekiranya enggan, kita akan bawa kepada pihak pendakwaan untuk tindakan melupuskan mesin yang disita,” katanya.

Tindakan penyitaan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983 atas kesalahan di bawah Peraturan 360C(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985. BH

No comments:

Post a Comment