Wednesday, 10 April 2019

Enam negeri setuju naik tarif air 😔

Rancangan untuk menaikkan tarif air bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan bekalan kepada pengguna kini mendapat persetujuan enam negeri. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Rancangan untuk menaikkan tarif air bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan bekalan kepada pengguna kini mendapat persetujuan enam negeri.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, ketika mengesahkan perkara itu berkata perundingan untuk menaikkan tarif air giat dijalankan kerana kadar berkenaan tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.

Katanya, proses libat urus membabitkan pelbagai agensi dilakukan susulan tarif air yang ditetapkan di setiap negeri berbeza bersandarkan keupayaan dan kadar permintaan masing-masing.


“Rundingan masih diteruskan dan kita jangkakan dua lagi negeri turut bersetuju menaikkan tarif air,” katanya tanpa memperincikan nama negeri berkenaan ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai sama ada kerajaan berhasrat menetapkan had harga siling air bagi setiap negeri, selain justifikasi cadangan menyemak tarif bekalan berkenaan.

Xavier berkata, situasi semasa menyaksikan peningkatan kos operasi tahunan industri pembekalan air tidak diimbangi dengan kadar tarif bekalan terbabit.

Sehubungan itu, katanya, kualiti perkhidmatan merudum saban tahun, sekali gus menyebabkan ratusan pengguna berdepan gangguan bekalan air sehingga menjejaskan kehidupan seharian.

“Matlamat kita ialah memastikan pengguna mendapat bekalan air bersih 24 jam untuk 365 hari, namun beberapa aspek termasuk kewangan syarikat pengurusan air perlu diberi keutamaan.

“Menyedari sesetengah syarikat pengurusan air negeri berdepan masalah kewangan, Kerajaan Persekutuan akan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Wasia) untuk merungkai isu ini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli) berhubung usaha menangani isu air tanpa hasil (NRW), Xavier berkata, ia fokus utama kerajaan kerana kadar purata nasional ketika ini masih berada pada tahap 35 peratus.

Katanya, usaha mengatasi NRW akan dilaksana menerusi kerjasama dan bantuan sektor swasta serta industri perbankan.

“Itu sebabnya kita tubuhkan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) supaya menggunakan kuasanya sebagai syarikat untuk meraih dana daripada ekuiti swasta dan mengeluarkan sukuk.

“Ia kemudian akan membantu negeri-negeri, mengikut permintaan masing-masing dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air, termasuk menerusi penggunaan teknologi bersesuaian.

“Proses bayaran balik kepada PAAB dijangka berupaya diselesaikan dalam tempoh sekitar 45 tahun,” katanya.

Kredit Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment