Monday, 22 April 2019

Kebakaran Marrybrown Jitra angkara disabotaj



“DALAM rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan ada individu mencurah petrol sebelum menyalakan dengan pemetik api sebelum cermin premis ini terbakar,” kata pemilik restoran makanan segera di Jalan Seri Cempaka, Bandar Darulaman, di Jitra yang terbakar, hari ini.

Mohd Hasif Mohd Azam, 20, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh rakan bapanya ada kebakaran di premis miliknya itu pada 5.17 pagi.

Katanya, mereka kemudian bergegas ke lokasi dan mendapati bahagian depan premis itu terbakar dan cermin pecah bertaburan di atas lantai.

“Dalam CCTV itu ada individu memakai baju bertutup kepala melakukan perbuatan itu hingga menyebabkan ia turut membakar dirinya sendiri.


“Saya sudah membuat laporan polis dan menyerahkan kes ini kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Mohd Hasif berkata, dia tidak menolak berkemungkinan ada unsur khianat, namun tidak pernah berlaku sebarang kejadian tidak diingini sejak premis perniagaan itu dibuka sejak tiga bulan lalu.
Katanya, setakat ini terdapat tiga botol berisi petrol 1.5 liter ditemui di tepi bangunan dan sudah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan 5.23 pagi dan sepasukan anggotanya tiba di lokasi 5.27 pagi.

Beliau berkata, operasi disertai 12 anggota bersama dua jentera dan sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Jitra.
“Setibanya di lokasi didapati api masih marak di bahagian depan manakala cermin hadapan pecah akibat kebakaran berlaku.

“Api berjaya dikawal 5.32 pagi dan operasi tamat 5.57 pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Mohd Bustan berkata, tiada mangsa di dalam premis berkenaan kerana ketika kejadian ia masih ditutup.
Beliau berkata, punca serta kerugian masih dalam siasatan dan setakat ini pegawai dari Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 12:05 PM
Sumber dari Harian Metro

No comments:

Post a Comment