Monday, 22 April 2019

Kes bunuh amah digugur, Konsulat Indonesia tuntut penjelasan..

Media pada Jumaat melaporkan Ambika (gambar) terlepas daripada hukuman mati. - Gambar fail

GEORGE TOWN: Konsulat Indonesia di sini menuntut penjelasan Timbalan Pendakwa Raya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Jumaat yang mengugurkan kes seorang majikan yang mendera pembantu rumah rakyatnya, Adelina Lisao, sehingga meninggal dunia tahun lepas.

Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Iwanshah Wibisino berkata, pihaknya sudah menghantar surat rasmi kepada pihak berkenaan dan sedang menunggu maklum balas.

Pihaknya berharap pertemuan dapat dilakukan secepat mungkin memandangkan pihak konsulat perlu memberi penjelasan kepada keluarga Adelina di Kupang, Nusa Tenggara Timur, berhubung perkembangan kes tersebut.

Iwanshah berkata, pengguguran kes tersebut, bukan sahaja mengejutkan rakyat Indonesia, malah rakyat Malaysia juga berkongsi reaksi yang sama.

Bagaimanapun, pihaknya tetap menghormati proses kehakiman yang berlaku dan berharap Adelina mendapatkan keadilan sewajarnya, katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Jumaat lalu, media melaporkan bekas majikan pembantu rumah berkenaan, Ambika MA Shan, 61 tahun, terlepas daripada hukuman mati selepas mahkamah tersebut dilapor membebaskannya daripada tuduhan bunuh Adelina susulan permintaan Timbalan Pendakwa Raya supaya dia dilepaskan tanpa dibebaskan.

Keputusan itu mengejutkan banyak pihak termasuk Tenaganita dan Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) yang menuntut Peguam Negara Tommy Thomas mengkaji semula pengguguran kes tersebut.

Kes penderaan terhadap Adelina pada tahun lalu mengejutkan negara apabila dia diselamatkan dari rumah majikannya di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam dalam keadaan tidak bermaya selepas fotonya yang terbiar di luar rumah dirakam seorang jiran.

Ketika diselamatkan, Adelina didapati mengalami kecederaan teruk di seluruh badan dengan lengan dan kakinya dipenuhi luka bernanah akibat terbakar manakala mukanya bengkak.

Malah, mangsa juga dikatakan dipaksa tidur di luar rumah bersama anjing.

Bagaimanapun, Adelina gagal diselamatkan apabila meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Bukit Mertajam.

Susulan kejadian itu, tiga beranak ditahan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim memaklumkan beliau turut menghubungi Tommy bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara tersebut.

Peguam Negara telah memberi respons bahawa beliau secara peribadi akan menyiasat dan melihat apa langkah seterusnya.

Kredit Astro Awani

No comments:

Post a Comment