Tuesday, 23 April 2019

KPDNHEP Pulau Pinang sita 27 ribu KG kurma guna logo halal tidak sah.

Sebahagian kurma dipercayai menggunakan logo halal palsu yang dirampas dalam satu serbuan di Bandar Perda hari ini. Foto oleh SAZALI CHE DIN

SEBERANG PERAI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita kira-kira 27,000 kilogram (kg) kurma pelbagai jenama dipercayai menggunakan logo halal palsu dalam satu serbuan di sebuah gudang di Bandar Perda di sini hari ini.

Pengarah KPDNHEP negeri, Mohamad Ridzuan Abdul Ghapar berkata, serbuan itu dibuat selepas pihaknya mendapati syarikat pengedar kurma itu menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


"Operasi dilakukan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang dan kita menyita kira-kira 27,000 kg kurma bernilai RM448,000.

"Syarikat itu dipercayai melakukan kesalahan menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa berwibawa di bawah Perintah 4(1) Perihal-perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati syarikat tersebut menggunakan logo berkenaan pada bungkusan kurma sejak kira-kira tiga tahun lalu.

"Wakil syarikat memberi alasan tidak tahu mengenai perkara itu, tetapi kita menganggap alasan itu tidak munasabah kerana jabatan agama Islam telah memberi pendedahan mengenai hal berkenaan.

"Daripada sitaan ini kita jangkakan tidak akan berdepan masalah bekalan kurma menjelang bulan Ramadan ini kerana masih ada pemain-pemain (industri) berupaya membekalkannya," katanya lagi.

Jika sabit kesalahan syarikat itu boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM250,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak lebih RM500,000

Kredit Kosmo Online

No comments:

Post a Comment