Friday, 12 April 2019

Laluan baharu AirAsia Pulau Pinang-Melaka bermula Julai 2019

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd akan memulakan laluan baharu dari Pulau Pinang ke Melaka bermula 1 Julai 2019.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, laluan berkenaan akan meningkatkan ketibaan pelancong ke Melaka serta membantu kerajaan negeri mencapai sasaran menarik 20 juta pelancong pada 2019.

Di atas kejayaan itu, AirAsia menawarkan tempat duduk percuma bagi laluan baharu itu dengan tambang dari serendah RM12 untuk perjalanan sehala.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riad Asmat, berkata Melaka yang kaya dengan sejarah dam tersenarai sebagai warisan dunia oleh UNESCO, adalah destinasi pelancongan pilihan Malaysia.

"Laluan baharu ini mengukuhkan lagi kehadiran pelancongan di Malaysia dan menyediakan lebih banyak pilihan bagi pengunjung antarabangsa untuk melancong ke Pulau Pinang dan Melaka.

"Kami berharap dapat meneruskan usaha meneroka lebih banyak laluan baharu ke Melaka dari rangkaian ASEAN kami," katanya.

Sempena pelancaran itu, AirAsia menawarkan diskaun sehingga 50 peratus caj penginapan hotel di Melaka atau Pulau Pinang, dan tambahan lima peratus jika menggunakan kod promo HOTEL5.

Untuk tempahan, pengguna boleh melayari airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia mulai sekarang hingga 21 April 2019 bagi perjalanan dari 1 Julai 2019 hingga 2 Jun 2020.

-BERNAMA

No comments:

Post a Comment