Wednesday, 17 April 2019

Najib berjaya selesai 9 masalah legasi PM terdahulu

Bekas perdana menteri Najib Razak menyenaraikan 9 masalah legasi yang diperbetulkannya sepanjang 9 tahun mentadbir negara, tanpa menuding jari kepada mana-mana perdana menteri terdahulu.

Najib berkata, pentadbirannya di bawah Barisan Nasional hanya bekerja tanpa menyalahkan mana-mana pihak, dan hasilnya ekonomi negara dan eksport antara yang paling tinggi di dunia.

“Masalah legasi perjanjian penjana kuasa bebas (IPP) berat sebelah, kita selesaikan. Masalah legasi sistem percukaian ketinggalan zaman, tidak telus dan tidak berkesan hingga menyebabkan ratusan bilion mengalir keluar dari Malaysia, kita gantikan.



“Masalah legasi pembangunan tidak sama rata untuk pantai timur serta Sabah dan Sarawak, kita imbangkan. Masalah legasi lebuhraya tol PLUS paling panjang di Malaysia dengan perjanjian berat sebelah dimiliki pihak swasta, kita beli balik dan letak di bawah kerajaan dan KWSP.

“Masalah legasi Felda tidak mendapat dana yang cukup untuk penanaman semula dan menjaga warga Felda yang semakin lanjut usia, kita cari dana. Masalah legasi kita sering gaduh dengan negara-negara lain, kita perbaiki hubungan,” katanya menerusi Facebook.

Malah, kata Najib, beliau berjaya mengagihkan semula kekayaan negara kepada golongan B40 menerusi BR1M selepas wujud masalah legasi di mana jurang pendapatan terlalu besar dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Masalah legasi cukai kereta terlalu tinggi dan rakyat hanya mampu membeli kereta tempatan, kita hapuskan banyak cukai seperti cukai import dan cukai jualan.

“Ia membolehkan ramai pada hari ini guna kereta pelbagai jenama di jalan raya. Bukan itu sahaja, masalah legasi sistem pengangkutan awam tidak menjadi pilihan ramai, kita tambah baik dan banyak lagi,” katanya.

Najib menambah, kerajaan BN sewaktu pentadbirannya tidak menipu rakyat dengan propaganda mengembalikan negara menjadi “Harimau Asia”, sedangkan Malaysia tidak pernah digelar dengan gelaran sedemikian oleh negara luar.

“Kebenarannya dalam tempoh 9 tahun ini, kadar pertumbuhan ekonomi kita lebih tinggi berbanding 4 negara yang diberi gelaran Harimau Asia, iaitu Singapura, Taiwan, Hong Kong dan Korea Selatan.

“Sebaliknya, Malaysia digelar sebagai pasaran saham dengan tempoh lonjakan saham paling lama di dunia, iaitu “world longest running bull market”.

“Sehingga kita capai tahap tertinggi pada awal Mei sebelum PRU14 lalu,” katanya.

Najib bagaimana mendakwa, rakyat Malaysia lebih suka sekiranya negara diberi gelaran “world worst share market” dan kekayaan serta pertumbuhan ekonomi semakin menurun.

Menurut Najib, rakyat suka mendengar cerita dongeng seperti negara dalam bahaya, hutang negara RM1 trilion, beliau yang dituduh pembunuh Altantuya Shaariibuu, menteri kewangan paling teruk, BN menjual negara dan Malaysia menuju ke arah bankrap.

“Saya sedikit menyesal saya secara peribadi tidak menggunakan lebih banyak masa untuk menulis panjang-lebar seperti ini semasa saya menjawat tugas sebagai perdana menteri, supaya auta-auta dari PH disangkal dan diperbetulkan.

“Pada masa itu, saya dan rakan-rakan kita di BN fokus menjayakan Pelan Transformasi Negara yang kita rancangkan.

“Akibatnya, kita tewas di PRU14 kerana ramai termakan fitnah Malaysia ke arah bankrap walaupun realiti ialah sebaliknya.”

No comments:

Post a Comment