Sunday, 14 April 2019

NASI KANDAR PATI BUNGKUS

JAWI - Berselindung di sebalik perniagaan yang menjadi tumpuan masyarakat, sebuah Restoran Nasi Kandar disyaki menggajikan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ketika diserbu oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Pulau Pinang.

Lebih mengejutkan apabila pengusaha terbabit disyaki menggajikan 11 orang PATI warganegara India di premis berkenaan dengan ada yang ditangkap tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah serta ada yang melanggar syarat-syarat Pas.

Bukan saja tidak mempunyai dokumen dan Pas yang sah tetapi apa yang lebih membimbangkan adalah pekerja-pekerja ini sudah semestinya tidak membuat pemeriksaan kesihatan (FOMEMA) dan juga tidak mengambil suntikan pelalian anti typhoid yang diwajibkan ke atas pekerja-pekerja pengendali makanan.

Menurut Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Pulau Pinang, Kholijah Mohamad,  "Masyarakat seharusnya tidak melihat masalah PATI ini dari sudut pasport dan permit sahaja, tetapi dari sudut keselamatan. Adalah menjadi tanggungjawab majikan dan pengendali makanan untuk mendapatkan vaksin imunisasi anti typhoid bagi mengawal penularan penyakit demam kepialu".

"Bagi majikan yang diluluskan pengambilan pekerja asing untuk sektor perkhidmatan bagi pekerja restoran, majikan akan mendapatkan suntikan yang berkenaan ke atas pekerja masing-masing tetapi sekiranya PATI yang diambil bekerja, mereka ini tidak mendapat suntikan pelalian maka keselamatan masyarakat akan lebih terancam".

Mengikut Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009
Pemeriksaan perubatan dan keadaan kesihatan pengendali makanan

(1) Semua pengendali makanan hendaklah diperiksa dari segi kesihatan dan diberi vaksin oleh pengamal perubatan berdaftar.

(2) Mana-mana pengendali makanan yang menghidap, atau merupakan pembawa penyakit bawaan makanan atau yang disyaki menghidap, atau merupakan pembawa penyakit bawaan makanan hendaklah:-

(a) tidak dibenarkan untuk memasuki premis makanan atau mengendalikan makanan;

(b) melaporkan dengan segera kepada pihak pengurusan premis makanan berkenaan dengan keadaan kesihatannya; dan

(c) digantung daripada bekerja di premis makanan sehingga dia disahkan sembuh daripada penyakit dan sihat dari segi perubatan untuk bekerja oleh pengamal perubatan berdaftar sebelum dia dibenarkan untuk memasuki premis makanan itu atau mengendalikan makanan.

(3) Mana-mana pengendali makanan yang tidak mematuhi subperaturan (1) atau (2) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

Menurutnya lagi, semua pihak perlu bergandingan dalam menangani masalah PATI dan masyarakat seharusnya mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap isu yang berkenaan.

Dalam operasi sama yang dijalankan, sebuah lagi Restoran Nasi Kandar turut diperiksa. Hasilnya seorang lelaki Bangladesh yang disyaki pekerja restoran terbabit telah berjaya ditangkap.

Siasatan ke atas pemilik-pemilik perniagaan yang terlibat dalam menggajikan warga asing tanpa Pas yang sah sedang giat dijalankan untuk dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Hukuman yang bakal menanti bagi mana-mana warganegara Malaysia yang menggaji seseorang yang tidak memiliki Pas yang sah jika disabitkan dengan kesalahan akan dikenakan denda tidak kurang daripada sepuluh ribu ringgit tetapi tidak lebih daripada lima puluh ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada dua belas bulan atau kedua-duanya untuk setiap majikan.

Kredit Jabatan Imigresen Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment