Sunday, 28 April 2019

Nelayan dipercayai jatuh laut ditemui



GEORGETOWN, 28 April- Operasi Carilamat (SAR) mencari seorang nelayan tempatan yang jatuh laut dari bot telah berjaya ditemui pada pukul 4.20 petang tadi.

Menurut Pengarah Maritim Negeri, Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan bin Harun berkata, Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang telah menerima panggilan kecemasan mengenai seorang nelayan tempatan yang dipercayai jatuh laut pada pukul 12.00 tengahari. MRSC Langkawi telah mengaktifkan SAR sejurus aduan diterima.




Tambahnya, mangsa iaitu Md Kasim Bin Chat, lelaki berumur 65 tahun berasal dari Bukit Mertajam, didapati jatuh dari bot selepas bot mangsa dijumpai oleh rakan-rakan mangsa lebih kurang jam 11.00 pagi di kawasan muara Sungai Sembilang, Batu Kawan. Mangsa dipercayai keluar dari jeti lebih kurang jam 6.00 pagi. 

"Lebih kurang pukul 4.20 petang, mayat mangsa telah dijumpai oleh seorang pemancing berdekatan tiang No. 73, Jambatan Pulau Pinang (menghala ke Prai) dalam keadaan terapung. Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada PDRM bagi tindakan selanjutnya," katanya.

Menurut Hamizan lagi, Operasi SAR yang dikoordinasikan oleh MRSC Langkawi ini melibatkan aset daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Maritim Negeri Pulau Pinang merakamkan ribuan terima kasih atas kerjasama dalam penglibatan Operasi SAR.

No comments:

Post a Comment