Wednesday, 24 April 2019

Nenek buang bayi di masjid Ara Kuda semalam kena tahan





TASEK GELUGOR - Tidak sampai 24 jam, polis berjaya menahan seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes pembuangan bayi di Masjid Lama Ara Kuda, di sini tengah hari semalam.

Suspek berusia 57 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara (SPU) di hadapan Balai Polis Kulim Hi-Tech, Kulim, Kedah awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek yang juga seorang balu berasal dari Kulim itu ditahan jam 1 pagi tadi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku anak perempuan sulungnya yang berusia 28 tahun terlibat dalam kes menyembunyikan kelahiran seorang bayi perempuan.

"Suspek kemudiannya meminta anaknya itu meninggalkan bayi tersebut di kawasan Masjid Lama Ara Kuda di sini semalam. Suspek mempunyai dua anak perempuan termasuk yang melahirkan bayi itu dan seorang cucu perempuan.

"Wanita yang melahirkan bayi itu kini ditahan di Hospital Kulim kerana mengalami komplikasi bersalin berikutan urinya masih tertinggal. Wanita itu adalah ibu tunggal yang kematian suaminya pada 2015. Selain bayi tersebut, dia mempunyai seorang anak perempuan berusia enam tahun," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, menurut suspek, anaknya mengakui bayi yang dibuang itu adalah hasil hubungan sulitnya dengan seorang lelaki tempatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman hari ini di Mahkamah Butterworth untuk siasatan lanjut.

"Sementara itu, suspek utama iaitu ibu kepada bayi perempuan tersebut akan ditahan reman selepas menerima rawatan dan dibenarkan keluar dari Hospital Kulim," katanya.

Semalam, sekumpulan jemaah yang sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Zuhur gempar dengan penemuan bayi perempuan yang diletakkan dalam kotak kertas di kaki lima belakang masjid berkenaan.

Bayi seberat 2.8 kilogram yang cukup sifat itu dijumpai pada jam 1.30 petang dalam keadaan dibalut kain batik dan sedang nyenyak tidur.

Kredit Sinar Harian

No comments:

Post a Comment