Thursday, 25 April 2019

Peluru Makan Tuan.. 😔

MAYAT lelaki ditemui dengan kesan tembak di dada dalam bilik rumah dua tingkat di Lengkok Merbah 1, Pulau Jerejak, Bayan Lepas dekat Balik Pulau, hari ini.

Dalam kejadian 6 petang itu, lelaki berusia 38 tahun terbabit meninggal dunia di lokasi kejadian selepas peluru yang ditembak di dada kiri menembusi belakang badannya.

Difahamkan, lelaki itu sempat menghubungi bekas teman wanitanya yang menetap di Australia dan memberitahu mahu membunuh diri.

Menurut sumber, lelaki berkenaan turut menghantar kiriman WhatsApp kepada bekas teman wanitanya itu yang menunjukkan gambar pistol diacu di dadanya.

“Dia juga sempat berbual dalam telefon dan mengadu sakit dalam perut sebelum bekas teman wanitanya itu mendengar satu letupan.

“Perbualan mereka terputus dan bekas teman wanitanya yang bimbang kemudian menghubungi kakak lelaki terbabit,” katanya.

Sumber berkata, ahli keluarga lelaki itu cuba menghubunginya, namun gagal sebelum mereka pergi ke rumah terbabit bersama tukang kunci.

“Sebaik tiba, mereka terpaksa memotong mangga dan terkejut apabila melihat mayat lelaki itu atas lantai dalam bilik tingkat atas rumah terbabit.

“Mereka kemudian menghubungi polis dan siasatan mendapati lelaki berkenaan tinggal bersendirian di rumah terbabit,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam bilik, polis menemui sepucuk pistol revolver .38 bersama empat peluru di atas katil.

“Siasatan lanjut juga mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

“Mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,” katanya.

Kredit Hadzlihady Hassan Harian Metro

No comments:

Post a Comment