Wednesday, 17 April 2019

Polis cekup Ah Long di Kepala Batas



KEPALA BATAS 17 April - Polis menahan dua lelaki di sebuah gerai di Jalan Pongsu Seribu semalam dipercayai terbabit dalam kegiatan pinjaman wang tidak berlesen atau 'ah long' di sekitar kawasan Seberang Perai Utara (SPU).

Ketua Polis Daerah (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, lelaki berusia 28 tahun dan 29 tahun itu ditahan ketika sedang berurusan dengan seorang peminjam.




“Polis telah merampas tiga buah buku catatan peminjam, beberapa buah telefon bimbit, 31 keping pelekat dan 78 keping kad perniagaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen.

“Kesemua barangan ini ditemui di dalam kereta milik suspek,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, suspek dibenarkan ditahan reman oleh Mahkamah Majistret Butterworth selama tiga hari bermula hari ini sehingga 19 April untuk siasatan sebelum kes dirujuk kepada pendakwaraya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, susulan daripada tangkapan tersebut dan daripada maklumat yang diperolehi, polis turut merampas 2,000 keping pelekat; 346 keping sepanduk; 6,000 keping risalah saiz kecil; 45,700 keping kad perniagaan serta 4,000 keping risalah saiz besar di sebuah premis di sekitar SPU.

“Kesemua barangan tersebut tertera nombor telefon `ah long’ tersebut.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pinjaman dengan `ah long’ atau pinjaman wang tidak berlesen kerana hanya akan menjerat diri sendiri dengan bayaran bunga yang tinggi dan tidak masuk akal,” katanya. – UTUSAN ONLINE





No comments:

Post a Comment