Tuesday, 16 April 2019

Pulau Pangkor pulau Duty Free mulai 1 Januari 2020



Kerajaan negeri Perak telah mengemukakan permohonan untuk mewartakan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai pada 1 Januari 2020.

Ia susulan pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengisytiharkan Pulau Pangkor diberi status pulau bebas cukai pada pembentangan Belanjawan 2019 November lalu.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pelbagai gerak kerja untuk merealisasikan status ini sedang dirintis.

“Usaha-usaha untuk membantu penduduk tempatan agar mendapat limpahan manfaat, hendaklah dijadikan salah satu agenda pembangunan Pulau Pangkor, demi memastikan penduduk di pulau tersebut, tidak bernasib Lebai Malang, menang sorak – kampung tergadai, tertinggal sebagai penonton yang pasif, berputih mata, melihat dagang lalu ditanak – sedangkan anak diriba mati tak makan,” titah baginda.

Baginda merasmikan pembukaan Penggal Kedua Dewan Negeri Yang Keempat Belas Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Ketika membentangkan belanjawan 2019, Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan komited untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai dalam usaha merealisasikan potensi sebenar pulau tersebut sebagai antara destinasi pelancongan utama di Malaysia.

Sultan Nazrin bertitah, usaha-usaha menambah dan mempelbagaikan produk serta usaha-usaha pemasaran dan promosi, akan diperlengkap dengan langkah-langkah untuk menambah baik perkhidmatan dan khidmat sokongan.

Titah baginda, sehingga kini, 88 tapak di negeri Perak, telah mendapat pengiktirafan sebagai tapak warisan; 20 daripadanya bertaraf warisan kebangsaan.

Baginda bertitah, dalam tahun 2018, Muzium Darul Ridzuan di Ipoh dan Muzium Telegraf di Taiping, turut diiktiraf sebagai warisan kebangsaan.

“Pengisytiharan bandar Taiping sebagai bandar ketiga terbaik dunia dalam Anugerah 100 telah berjaya merangkul tempat kedua, Anugerah Inovasi Negeri,” titah Sultan Nazrin

No comments:

Post a Comment