Thursday, 11 April 2019

Anggota JPJ menyamar sebagai pelanggan kesan ulat teksi

PULAU PINANG 11 April - Anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri ini bertindak menyamar sebagai pelanggan bagi mengesan kegiatan ulat-ulat teksi yang bergiat aktif di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).


Hasil penyamaran tersebut, sejak Februari hingga semalam, enam ulat teksi berjaya ditahan dengan dua daripadanya telah membuat pengakuan bersalah dan dijatuhkan hukuman denda di antara RM1,500 hingga RM2,000.

Ketua Pengarah JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor berkata, operasi yang dijalankan itu melibatkan seramai 20 anggota penguatkuasa daripada pelbagai unit.

“Operasi ini susulan daripasa aduan yang diterima daripada Persatuan Pemandu Teksi LTAPP baru-baru ini.


“Anggota penguatkuasa JPJ telah menyamar sebagai pelanggan untuk mengesan ulat-ulat teksi yang mencari penumpang di LTAPP dan hasilnya enam ulat teksi telah ditahan serta dikenakan tindakan,” katanya dalam sidang akhbar di LTAPP di sini hari ini.

Menurut Mohamat Johari ulat-ulat teksi itu dikesan akan memujuk pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan mereka dengan menawarkan harga yang lebih murah kepada pelanggan.

“Harga yang ditawarkan oleh ulat teksi ini sekitar 20 hingga 25 peratus lebih murah daripada perkhidmatan teksi dan limosin berdaftar.

“Namun perkhidmatan ini salah disisi undang-undang kerana menjalankan perkhidmatan secara haram kepada orang awam,’’katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment