Monday, 22 April 2019

Pusat Transformasi Bandar UTC Pulau Pinang bakal dibuka di Komtar


GEORGETOWN: Pusat Transformasi Bandar (UTC) pertama di Pulau Pinang akan dibuka di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata setakat ini, ada satu Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di negeri ini yang beroperasi di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan.

“UTC yang akan beroperasi di tingkat dua dan tiga bangunan 65 tingkat itu akan memanfaatkan rakyat khususnya bagi melakukan pelbagai urusan dalam tempoh yang singkat,” katanya.


Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis ulang tahun ke-50 Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang turut dihadiri Pengurus Besar PDC, Mohd Bazid Abd Kahar di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata sehingga kini ada 22 UTC di seluruh negara, dan UTC di KOMTAR akan menjadi yang terbaru diwujudkan, dan ia dijangka siap beroperasi penuh pada tahun 2020.


“Kita sedang melihat kepada reka bentuknya dan dijangka akan siap hujung tahun ini. ia akan membabitkan pengubahsuaian ruang-ruang yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai agensi kerajaan dijangka beroperasi di UTC berkenaan dengan perbincangan mengenainya kini membabitkan tiga jabatan kerajaan Persekutuan.

“Setakat ini, perbincangan sudah diadakan bersama tiga agensi iaitu Jabatan Kesihatan, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Dianggarkan 15 jabatan dan agensi akan beroperasi di UTC,” katanya.

Berita Harian



No comments:

Post a Comment