Friday, 19 April 2019

Putrajaya tak pernah lulus projek tambak laut Pulau Pinang


Kerajaan persekutuan menafikan meluluskan projek tambak laut 3 pulau di selatan Pulau Pinang, sebaliknya Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) dalam mesyuarat semalam hanya menasihatkan kerajaan negeri mengenai perkara itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, selain MPFN, beberapa kementerian turut memberi ulasan dan nasihat tambahan kepada kerajaan Pulau Pinang, antaranya Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


Sekretariat MPFN, PlanMalaysia terletak di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Kerajaan negeri juga dinasihatkan untuk terus mengadakan perundingan bersama masyarakat setempat dan rakyat yang akan terkesan daripada pembangunan ini dan memastikan keperluan mereka diberi perhatian sewajarnya.



“Permohonan ini perlu mendapat kelulusan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan laporan penilaian impak sosial (SIA) daripada agensi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah pelan itu perlu dikemukakan semula kepada MPFN.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan MPFN sudah meluluskan projek itu yang dikenali sebagai Projek Tebus Guna Tanah Selatan Pulau Pinang (PSR).

Katanya, MPFN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad turut memberi 18 “nasihat” untuk dipatuhi tanpa menjelaskannya, tetapi beliau memberi jaminan akan menerangkan perkara itu pada sidang media hari ini.

Susulan itu, Sahabat Alam Malaysia menyifatkan kelulusan projek itu sebagai “mengejutkan dan membimbangkan” kerana ia dibenarkan walaupun terdapat bantahan daripada orang ramai berhubung kesan alam sekitar, sosial dan kewangannya.

PSR yang berkeluasan hampir 17km persegi dengan 3 pulau masing-masing seluas 9.3, 4.45 dan 3.23km persegi akan ditebus guna di perairan Permatang Damar Laut, berdekatan Bayan Lepas.

Tanah yang ditebus guna itu milik kerajaan nengeri, tetapi akan dilelongkan kepada pembina tertinggi untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 juta.

PTMP dijangka meliputi beberapa lebuh raya, sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan pengangkutan lain yang akan dibina dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.FMT

1 comment:

  1. Padang kota baru pun dah tak cantik dengan letak pagar lagi.

    ReplyDelete