Tuesday, 16 April 2019

Saya mengaku bersalah - Lan Pet Pet

Pelawak, Mazlan Ahmad atau Lan Pet Pet mahu mencari masa sesuai untuk bersemuka dan memohon maaf daripada pengawal keselamatan, Yahya Manap, 68, yang dikasari dalam insiden mencetuskan kontroversi, baru-baru ini.

Mengaku kesalahan dibuat, Mazlan, 49, sanggup berhadapan Yahya dan menerima apa sahaja reaksi pengawal keselamatan itu.

“Saya dengan rendah diri memohon maaf daripada Yahya dan keluarga. Saya ikhlas dan sanggup berhadapan apa sahaja... Saya silap dan bodoh ketika itu.


“Saya sanggup berhadapan Yahya dan keluarganya. Apa yang lebih penting, saya dapat bertemu, meleraikan kekusutan dan memohon maaf.

“Selebihnya terserahlah kepada Yahya... Saya terima dengan hati terbuka,” katanya kepada BH Online.

Pagi tadi, anggota kumpulan lawak, Senario itu didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban selepas mengaku salah memukul pengawal keselamatan berkenaan.

Lan mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Mayon Yusof, pagi tadi.

Mazlan mengaku melakukan kesalahan itu di Acacia Park Desa Jati, Nilai, pada 6 April lalu. Pelakon filem Zombie Kampung Pisang itu kemudian membayar denda, tengah hari tadi.

Mazlan berkata, dia tidak menjangka insiden itu berlaku dan pantas viral.

“Saya tidak sengaja bertindak sedemikian. Saya hanya manusia biasa, tidak lepas daripada melakukan kesilapan,” katanya.

Mazlan berkata, dia menghormati Yahya seperti ayahnya.

“Bagaimanapun, salah faham yang berlaku membuatkan saya tidak sengaja bertindak di luar batasan.

“Apa yang berlaku, biarlah saya simpan dalam hati. Saya belum bersedia mahu berkongsi, berikan saya tempoh untuk bertenang dahulu.

“Ketika ini, fikiran saya serabut, banyak urusan yang kena selesaikan... Saya perlukan masa.

“Saya berjanji akan meleraikan kekusutan ini dengan segera. Keluarga dan rakan baik juga menasihatkan saya bertemu dengan Yahya,” katanya.

Pelawak kelahiran Kedah itu berkata, dia banyak belajar daripada kesilapan itu.

“Saya berjanji kesilapan yang sama tidak akan berulang dalam hidup saya. Makilah, hamunlah... Saya terima dengan reda.

“Saya mohon maaf dengan hati yang ikhlas,” katanya.

No comments:

Post a Comment