Wednesday, 17 April 2019

Tiga lelaki cedera setelah dibelasah di bawah Jambatan Kedua gara-gara berebut marka..

Gambar Hiasan

ANGKARA berebutkan wanita, tiga lelaki cedera dibelasah sekumpulan lelaki lain dalam pergaduhan di bawah Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) di Balik Pulau, malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam itu, dua daripada mangsa ditikam di belakang badan serta lengan dengan senjata tajam, manakala seorang lagi dipukul di kepala.

Difahamkan, semua mangsa berusia 19 hingga 26 tahun itu dipukul antara 15 hingga 20 lelaki.

Pergaduhan itu dimaklumkan kepada polis oleh kakitangan pusat kawalan jambatan terbabit.

Difahamkan, seorang daripada mangsa merampas teman wanita suspek hingga menimbulkan rasa tidak puas hati.

Suspek kemudian bersama beberapa rakan dikatakan bertemu dengan mangsa konon untuk berbincang dan menyelesaikan perkara terbabit.

Bagaimanapun, pertemuan itu mencetuskan kekecohan sebelum ia bertukar menjadi pergaduhan hingga menyebabkan semua mangsa dipukul.

Suspek kemudian terus melarikan diri selepas kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superitendan A A Anbalagan berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada masalah berebutkan teman wanita.

Menurutnya, semua mangsa dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Pulau Pinang dan polis sedang mengenalpasti senjata yang digunakan suspek dalam pergaduhan itu.

“Kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran bagi memudahkan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Kredit Harian Metro

1 comment:

  1. Citer yg bkn kebenarannya..kalau x thu cter sbenar tlg tnya..jgn pandai2 kluarkan crita yg palsu...

    ReplyDelete