Monday, 22 April 2019

Warga Thailand maut dikelar di leher rakan senegara



LELAKI warga Thailand maut dikelar di leher menggunakan pisau pemotong sayur oleh rakan senegara di kedai makan di Taman Bukit Emas, Rahang di Seremban, malam tadi.

Dalam kejadian 9.50 malam itu, mangsa berusia 24 tahun diserang suspek berusia 19 tahun yang bersama-sama bekerja di kedai makan itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, sebelum pergaduhan berlaku, suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang menegurnya mengenai perihal tugas di tempat kerja.



“Ketika di bahagian belakang dapur, berlaku pergaduhan dan suspek mengambil pisau pemotong sayur lalu kelar leher mangsa.

“Adik mangsa bersama beberapa pelanggan kedai makan yang berada di lokasi kejadian terus menangkap suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Rosli berkata, suspek dan senjata yang digunakan ketika kejadian kemudian diserahkan kepada anggota polis yang tiba di lokasi sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

▶️ Harian Metro Online

No comments:

Post a Comment