Friday, 26 April 2019

Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang cadang bangunan DUN baru



Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Abdul Rahman Abbas mencadangkan bangunan pejabat pentadbiran negeri dan Dewan Undangan Negeri yang baru dibina di atas sebidang tanah tambak.

"Pada hemat saya telah tiba masanya untuk kerajaan negeri meneliti secara bersungguh-sungguh untuk pembinaan bangunan Dewan Undangan Negeri baru beserta pusat pentadbiran kerajaan negeri secara bersama di dalam satu kompleks.

"Tapak tebus guna strategik yang akan dimiliki kerajaan negeri amat sesuai bagi pembangunan ini," katanya.

Kerja-kerja menambak laut sedang berjalan di sepanjang Gurney Drive, di pesisir perairan Queensbay bertentangan Pulau Jerejak dan Pantai Bersih di Butterworth.

Bangunan pentadbiran negeri terletak di bangunan Komtar sejak 1986 lagi, maklum Abdul Rahman.

"Saya juga ingin mengusulkan cadangan baru kepada kerajaan negeri melibatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri di bangunan Komtar yang telah digunakan mulai tahun 1986.

"Cadangan ini diusulkan dengan mengambilkira insiden “kebakaran” yang berlaku baru-baru ini dan telah menimbulkan suasana panik, kurang selesa dan lain-lain kelemahan yang ketara.


"Keperluan ruang kerja baru dengan mengambil kira keperluan pertambahan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan juga menjadi faktor tambahan untuk pembinaan pusat pentadbiran kerajaan yang baru selari dengan pembangunan semasa," kata Abdul Rahman (gambar) ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Kedua sidang DUN ke-14 hari ini.

Abdul Rahman berkata cadangan Dewan Undangan Negeri baru menggantikan bangunan lama di Light Street bertujuan untuk keselesaan semua pihak berkaitan.

"Oleh itu, saya masih amat mengharapkan agar kerajaan negeri memandang serius usul untuk mendirikan bangunan Dewan Undangan Negeri yang baru bagi keselesaan sidang serta untuk menampung jumlah Ahli-Ahli Yang Berhormat (Adun), pegawai-pegawai bertugas, para media dan keperluan-keperluan lain yang perlu untuk ditambahbaik," katanya lagi.

Semalam, Speaker DUN Pulau Pinang Law Choo Kiang mengumumkan bangunan di Light Street sekarang sedang ditutup bagi kerja-kerja ubah suai oleh Jabatan Kerja Raya.

Kerja-kerja pengubahsuaian akan memakan masa setahun untuk disiapkan dan akan dibuka semula pada tahun depan, manakala Syarikat Fajar Eratimur Sdn Bhd dianugerahkan projek tersebut melalui tender terbuka dan memakan belanja sebanyak RM3, 673,000.00.


Kerja-kerja bermula pda 13 Mac lalu dijangka disiapkan pada 11 Mac, 2020.

Ini bukan kali pertama sidang DUN Pulau Pinang dipindahkan ke bangunan lain kerana kerja-kerja pengubahsuaian.

Dari 1995 ke 1996, sidang DUN berlangsung di Universiti Sains Malaysia. Sementara itu pada 2005, sidang dijalankan di Dewan Sri Pinang, juga disebabkan kerja-kerja pengubahsuaian.

No comments:

Post a Comment