Monday, 6 May 2019

13 pelajar sesak nafas terhidu iodin..

SERAMAI 13 pelajar terhidu Gas jenis Iodin semasa melakukan eksperimen sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Bayan Lepas. Kesemua mangsa dilaporkan stabil manakala seorang mangsa telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut

GEORGETOWN: Seramai 13 pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas di sini, mengalami sesak nafas selepas melakukan proses ujikaji makmal menggunakan cecair iodin, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, semua pelajar terbabit sedang memanaskan cecair iodin untuk melihat tindak balas pemeluapan dalam subjek Kimia.

Ketua Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohamad Shahrul Nizam Che Hasan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.57 pagi dan hadir ke sekolah berkenaan bersama pasukan perubatan.

“Selepas tiba ke sekolah itu kita membantu memberi rawatan awal kepada pelajar terbabit iaitu 11 pelajar perempuan dan dua pelajar lelaki.

“Semua pelajar juga diberi pengawasan dan bantuan oksigen oleh pasukan perubatan, manakala seorang pelajar perempuan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, seramai tujuh anggota bomba dari Balai Bomba Bayan Baru melakukan kerja pengudaraan bagi membantu mengeluarkan wap cecair iodin berkenaan.

Katanya, proses pemanasan cecair iodin itu dipercayai dilakukan di dalam makmal yang tidak mempunyai aliran pengudaraan yang baik.

“Tiada anggota Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dipanggil untuk membantu kerana ia tidak membabitkan pencemaran bahan berbahaya,” katanya.

Difahamkan, pelajar yang sudah menerima rawatan diberi kebenaran untuk pulang ke kediaman masing-masing.

Kredit Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment