Wednesday, 1 May 2019

Adun PKR dakwa diserang ‘cybertrooper’ pro-PTMP

GEORGE TOWN: Seorang Adun mendakwa beliau diserang “cybertrooper” yang menyokong Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) kerana pandangannya yang berterus-terang mengenai projek dan isu lain di Facebook.
Jason Ong Khan Lee (PKR-Kebun Bunga) berkata mereka di sebalik serangan itu “bukan rakyat biasa” yang mahu berkongsi pandangan mereka tetapi memfitnah pihak yang mereka sebut sebagai “anti-PTMP”.

Ketika membahaskan ucapan terima kasih kepada yang dipertua negeri di dewan semalam, Ong bertanyakan kerajaan Pulau Pinang jika mereka mempunyai pasukan cybertrooper rasmi dalam Pakatan Harapan dan, jika ya, dedahkannya kepada umum untuk ketelusan.
Satees Muniandy (DAP-Bagan Dalam) yang mencelah berkata, beliau tidak dapat menerima apabila rakan Adun PH membuat komen yang tidak berasas dan menuntut Ong menarik balik kenyataannya.
Ong memberitahu Satees bahawa beliau belum habis membuat ucapannya. Beliau berkata jika tidak ada pasukan cybertrooper, maka kerajaan negeri harus mempertimbangkan untuk membentuknya untuk menegakkan reputasi kerajaan secara atas talian.
“Masalahnya ialah, jika ada cybertrooper yang sentiasa menyerang kita bukan dari PH, kita harus memberi amaran kepada orang ramai bahawa mereka tidak mewakili PH.
“Mereka tidak harus menyebarkan mesej menghasut dan fitnah sambil berpura-pura menyokong PH untuk membuatkan kerajaan kelihatan teruk,” katanya.
Ong berkata beliau secara peribadi tidak membantah PTMP tetapi hanya menyuarakan kebimbangan pengundinya.
Beliau berkata ini kerana projek itu tidak dibiayai kerajaan persekutuan dan mungkin tidak berdaya maju dalam jangka masa panjang.
Beliau berkata PTMP boleh dilaksanakan sekiranya keadaan ekonomi semasa kukuh dan membangun seperti rangkaian pengangkutan di Singapura dan Hong Kong.
“Keupayaan Pulau Pinang untuk menguruskan lalu lintas yang semakin meningkat mestilah mampan. Adakah kerajaan tempatan bersedia untuk mempunyai lebih banyak tempat letak kereta sejajar dengan lebih banyak jalan dibina pada masa akan datang?
“Apa gunanya membina banyak lebuh raya untuk memudahkan pengangkutan apabila tidak ada tempat yang cukup untuk parkir kereta kami?
“Adakah kerajaan negeri bersedia untuk menangani pencemaran udara dan bunyi yang diharapkan apabila lebih banyak jalan dibina?
“Saya menggesa ketua menteri menimbang semula PTMP, penambakan tanah dan projek terowong bawah laut, dan lebih baik lagi, untuk meletakkan projek di bawah KIV (tunggu dan lihat),” katanya. FMT

No comments:

Post a Comment