Friday, 10 May 2019

AG terlebih biadab - Reezal Merican

Saya mengambil masa yang agak lama untuk melihat dan mendengar hujah baru pihak kerajaan dalam mempertahan pandangan keperluan meratifikasi Statut Rom. Kekhuatiran saya secara peribadi, jika isu ini mahu "diperinci" semula pihak kerajaan, ia seakan menyanggah langsung keputusan Duli Tuanku Majlis Raja-Raja sebelum ini.

Nyata, kerajaan kelihatan amat bersungguh untuk mempengaruhi pandangan awam untuk menerima semula ratifikasi Statut Rom seperti yang dirancang sebelum ini. Kehadiran Peguam Negara, watak penting dan amat signifikan kepada usaha meratifikasi Statut Rom dalam beberapa siri penerangan memberikan bayangan bahawa usaha ini akan kembali di atas landasan dasar kerajaan.

Sewajarnyalah, kabinet mengarahkan polemik yang berkaitan Statut Rom ini dihentikan serta merta. Bilamana ia diteruskan, kita akan mendengar sindiran pedas dan pahit kepada institusi Raja Berperlembagaan. Kecualilah, memang niat sebenar pihak tertentu mahukan institusi Raja dihina dan disindir semahunya.


Sepertimana isu ekonomi, jalan pintas yang paling digemari adalah menyalahkan kerajaan lama. "Usaha ratifikasi ini sudah bermula di zaman BN", kata mereka. Soalnya, apakah BN yang mengelirukan para Duli Tuanku? Apakah BN yang hanya melaksana "sembah maklum" tanpa menyantuni pandangan Duli Tuanku?

Peguam Negara tidak seharusnya menggunakan forum terbuka untuk menyerang keputusan konsensus Majlis Raja-Raja. Tommy Thomas tidak sewajarnya menggunakan nada sinis dan bercakap tentang hilangnya kekebalan Raja-Raja. Bukan itu isu pokoknya.


Saya beranggapan, Peguam Negara terlebih biadab, penuh helah dan menghampiri garis derhaka. Peguam Negara tidak sewajarnya tampil mempertahan "kelemahan" diri sendiri dalam mengemukakan hujah serong. Duli Tuanku sudah bertitah. Keputusan konsensus Majlis Raja-Raja muktamad. Siapa Peguam Negara ingin membangkitkan isu ini semula?

Hak keistimewaan Agong

Saya ingin mengulas sedikit, bahawa kenyataan Peguam Negara berkenaan kuasa isytihar perang misalnya adalah amat serong dan terkhilaf. Daripada segi teknikal undang-undang berdasarkan kepada Perkara 39, 74, 80 dan butiran 2(e) Jadual Kesembilan yang jelas memberikan kuasa kepada parlimen untuk mengisytiharkan peperangan.

Berdasarkan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Utama bagi Persekutuan [Fasal (1) Perkara 32(1)], juga mempunyai kuasa mempunyai kuasa eksekutif Persekutuan [Perkara 39], merupakan pemerintah tertinggi angkatan tentera [Perkara 41] dan adalah salah satu daripada tiga tonggak utama yang membentuk Parlimen Malaysia [Perkara 44].


Bersendikan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu tadi, amat mudah difahami, perkara 32, 39, 74, dan 44 jelas menunjukkan bahawa YDPA merupakan antara individu yang memainkan peranan dan mempunyai kaitan langsung dengan proses membuat keputusan/undang-undang tersebut dan memberikan untuk melaksanakan keputusan/undang-undang tersebut dalam kapasiti sebagai ketua negara, parlimen dan kuasa eksekutif.

Oleh yang demikian, Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar simbol di dalam Perlembagaan Persekutuan malahan dilihat sebagai entiti yang mempunyai peranan yang sangat jelas dalam pentadbiran dan urusan undang-undang negara. Oleh itu, hujah bahawa hak dan keistimewaan Yang di-Pertuan Agong tidak terkesan sama sekali dengan penyertaan Statut Rom adalah amat longgar Dan tidak tepat.

Pemahaman AG terlalu liberal

Kalaupun mahu mempertahan hujah, Tommy Thomas perlu menggunakan fakta yang lebih padu dan ampuh. Jangan menyalahkan "fake news", jika AG sendiri mempunyai pemahaman perlembagaan yang longgar dan terlalu liberal. Kerajaan dan kabinet bertanggungjawab untuk meletakkan titik noktah kepada kekeliruan yang kian berlanjutan ini.

Wujud pandangan pihak tertentu bahawa, bukan setakat Statut Rom yang mahu digembar-gembur; ada niat lebih besar kepada semua ini. Jangan marah dan memberi amaran jika ada suara yang "menentang arus" pendirian kerajaan.

Pandangan umum rakyat terhadap apa yang berlaku mutakhir ini tidak wajar dianggap "pekak" dan "tuli". Pandangan Mufti juga tidak layak disindir perli sebagai "pekak". Yang sebenarnya pekak adalah mereka yang menganggap diri mereka "baik" dan hebat sepanjang masa. Wujudkah ancaman? Selagi "nilai" mereka; nilai "liberal" keluarga mereka; nilai "harta" kroni dan cukong yang menjaga kepentingan mereka terpelihara; maka tiadalah ancaman apa pun jua.


Yang nyata, seorang Peguam Negara yang celupar dan gagal menyantuni pendirian YDP Agong dan Majlis Raja-Raja sudah tidak layak berada di jawatan itu. Berundurlah dari jawatan jika kesetiaan dan kejujuran tidak lagi dapat diberikan kepada Raja-Raja dan Perlembagaan Negara. Tindakan peguam negara yang menyeleweng Perlembagaan mengikut kehendak sendiri semata-mata mahu memusnahkan martabat institusi perundangan negara.

DATUK SERI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN ialah anggota Majlis Tertinggi Umno merangkap anggota parlimen Kepala Batas - MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment