Thursday, 30 May 2019

#Butterworth 265 kontena sisa sampah tersadai di Pelabuhan Pulau Pinang

Sebanyak 265 kontena mengandungi sisa sampah dibawa masuk ke Pulau Pinang dan dikesan masih tersadai di pelabuhan negeri ini sejak Januari lalu.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri mendedahkan, kontena berkenaan tidak dituntut sehingga menyebabkan Pelabuhan Pulau Pinang kian sesak, bahkan pihaknya terpaksa meminjam kawasan lapang lain untuk meletakkan kontena lain.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Saidi Ismail, berkata kerajaan kerugian lebih RM5 juta dalam tempoh hampir enam bulan tahun ini berikutan terpaksa menyelenggara kontena tidak dituntut itu, selain menanggung caj tempat letak kontena.


Beliau berkata, sebanyak 149 daripada kontena terbabit diikrarkan sebagai barangan kitar semula, manakala bakinya belum diikrar, selain tidak memiliki Lesen Import (AP).

“Kebanyakan kontena mengandungi sisa sampah itu adalah dari Kanada, Belgium, Jerman serta Amerika Syarikat, dan kita percaya ia diimport kononnya sebagai bahan kitar semula,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh.

Sehubungan itu, Saidi berkata, cadangan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, untuk menghantar semula kontena sisa sampah ke negara asalnya, adalah yang terbaik.

“Kita tidak mahu Malaysia menjadi tempat longgokan sampah dan kerajaan terpaksa membazirkan wang untuk membayar kos yang tidak sepatutnya.

“Justeru, tindakan menghantar balik semua kontena yang tidak dituntut dan diikrar ini amat disokong,” katanya.

Sementara itu, Boon Poh berkata, kerajaan negeri masih menunggu tindakan lanjut yang perlu diambil terhadap semua kontena berkenaan.

“Kita masih menunggu arahan daripada Kerajaan Persekutuan. Jika perlu pulangkan kontena itu ke negara asal, kita akan lakukan,” katanya - BH

No comments:

Post a Comment