Friday, 10 May 2019

#Gelugor Bapa simbah anak dengan air panas



Akibat berang dengan anak sendiri yang sering menuntut wang insurans milik ibu mereka, seorang bapa tergamak menyiram air panas di muka anak kandung sendiri dalam satu kejadian di sebuah rumah di The Pulse, Jalan Kaki Bukit di Gelugor, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa berusia 35 tahun cedera di bahagian muka dan badan selepas disimbah air panas oleh bapanya yang berusia 66 tahun dari tingkap rumah abang mangsa di lokasi kejadian.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, ibu mangsa telah membeli insurans perlindungan untuk mangsa serta keluarga sejak kecil dan ibu mangsa telah meninggal dunia pada 2005.




“Beberapa tahun selepas kematian ibu mangsa, insurans tersebut telah matang dan bapa mangsa telah membuat proses tuntutan wang insurans tersebut.

“Bapa mangsa telah mengagihkan wang insurans tersebut kepada adik beradik mangsa namun tidak memberi wang berkenaan kepada mangsa walaupun telah diminta berulang kali,” katanya di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani, kemudian pada Selasa lalu mangsa sekali lagi meminta wang insurans tersebut daripada bapanya di rumah abang mereka The Pulse Jalan Kaki Bukit, Gelugor di sini.

“Ketika mangsa meminta wang insurans sebanyak RM30,000 itu, bapanya menunjukkan wang RM10 dari tingkap.

“Mangsa menghampiri tingkap itu sebelum secara tiba-tiba bapanya menyiram air panas ke muka mangsa dan dia membuat laporan polis selepas menerima rawatan di hospital,” katanya.

Tambah beliau, bapa mangsa telah ditahan polis semalam dan mengaku melakukan perbuatan tersebut selepas soal siasat dijalankan.

“Bapa mangsa telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment