Saturday, 11 May 2019

Hukum Suntik Insulin Ketika Berpuasa

Hukum Suntik Insulin Bagi Pesakit Diabetes Kronik Ketika Berpuasa.. Assalamualaikum ustaz. Apakah hukum suntik insulin bagi pesakit diabetes kronik pada siang hari di bulan Ramadhan.

diabetes-blood-sugar-diabetic-medicine-46173

Jawapan:
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Di antara perkara yang membatalkan puasa ialah memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan sengaja. Kata Ibnu Ruslan di dalam matannya :
وكُـــلِّ عَـيْــنٍ وَصَــلَــتْ مُـسَـمَّــى# جَـــوفٍ بِمَـنْـفَـذٍ وذِكْــــرِ صَــوْمَــا
كالـبَـطْـنِ والـدِّمَــاغِ ثـــم الـمُـثُــنِ# ودُبُــــــرٍ وبـــاطِــــنٍ مِـــــــن أُذُنِ
Jika ada sesuatu yang masuk ke dalam rongga yang terbuka seperti hidung, telinga, mulut, lubang punggung dan lubang kemaluan lelaki atau perempuan dengan sengaja maka terbatal lah puasanya. Dan wajib baginya untuk menggantikan puasa yang terbatal tadi. Jika ada yang masuk ke dalam selain daripada yang disebutkan seperti mata dan lain-lain maka ianya tidak membatalkan puasa.
Imam Al-Nawawi menyebut :“Di antara perkara yang membatalkan puasa ialah masuknya sesuatu ke dalam rongga (yang terbuka).” Rujuk Raudhah Al-Talibin Wa ‘Umdah Al-Muftin (2/356)
Bagi menjawab persoalan yang dikemukakan, insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh pankreas untuk mengawal paras gula di dalam badan. Penyakit kencing manis atau diabetes menyebabkan badan gagal menghasilkan insulin atau insulin tidak dapat digunakan dengan sempurna. Suntikan insulin adalah sebagai bantuan untuk mengawal paras gula yang ada di dalam badan.[1]
Para ulama telah membincangkan berkenaan hukum menyuntik apa-apa suntikan ketika siang bulan Ramadhan.
  1. Jika suntikan itu suntikan yang mendatangkan khasiat dan tenaga maka ianya membatalkan puasa. Ianya sama sahaja seperti makan dan minum dengan sengaja. Ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah R.A :
مَنْ نَسِىَ وَهُوَ صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang terlupa dalam keadaan puasa kemudian dia makan atau minum maka sempurnakanlah puasanya. Sesungguhnya Allah yang memberinya makan dan minum.”
Riwayat Muslim (2772)
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menjadi dalil bagi kebanyakan ulama. Jika seseorang makan atau minum atau berjimak dengan tidak sengaja ketika siang bulan Ramadhan maka ianya tidak membatalkan puasa. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim, 8/35). Namun jika ia dilakukan secara sengaja ia merupakan satu perbuatan yang membatalkan puasa.
Sama halnya dengan suntikan yang mendatangkan khasiat dan tenaga di siang hari bulan Ramadhan. Ia membatalkan puasa. Inilah yang dinyatakan oleh Imam Al-Nawawi di dalam karyanya Al-Majmu’. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 6/313)
  1. Jika suntikan itu bukan suntikan yang mendatangkan khasiat dan ianya adalah untuk tujuan perubatan maka perlu dilihat dan diperincikan:
  • Jika suntikan itu melalui urat yang bersambung dengan rongga. Ini kerana ia menyebabkan ubat itu sampai kepada rongga. Maka ianya membatalkan puasa. Kata Imam Al-Nawawi : “Jika ia mengubati atau merawat lukanya lalu ubat tersebut sampai kepada rongganya maka ianya membatalkan puasa di sisi kami.” Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab (6/320)
Ini adalah pandangan kebanyakan ulama syafi’iyah, hanafiah dan sebahagian ulama bermazhab hanbali. Sheikh Mansur Al-Buhuti menyebut :“Yang merosakkan (membatalkan puasa) ialah menyuntik sesuatu melalui dubur. Ini adalah perbuatan yang membatalkan puasa kerana ia menyebabkan benda itu sampai ke rongga. Ia adalah seperti memasukkan sesuatu ke dalam rongga secara terus. Begitu juga batal puasa jika mengubati atau merawat dengan melalui kawasan yang boleh menyampaikan ubat itu kepada rongga. Ini kerana ianya dilakukan dengan pilihannya sendiri.” Rujuk Kassyaf Al-Qina’ ‘an Matn Al-Iqna’ (2/318)
  • Jika suntikan itu dilakukan melalui otot-otot badan atau anggota badan yang lain seperti peha atau lengan maka ianya tidak membatalkan puasa. (Rujuk Al-Taqrirat Al-Sadidah Qism Al-‘Ibadah, hlm 452). Ini juga merupakan keputusan perbincangan oleh Majma’ Al-Fiqh Al-Islami yang telah diadakan di Arab Saudi pada 28 Jun sehingga 3 3 Julai tahun 1997.
Kesimpulannya, kami mengatakan bahawa jika suntikan itu adalah suntikan yang berkhasiat dan memberi tenaga maka ianya membatalkan puasa. Begitu juga batal puasa jika suntikan itu dilakukan melalui urat atau bahagian yang boleh sampai kepada rongga. Akan tetapi, jika suntikan itu dilakukan melalui anggota yang lain seperti peha atau lengan maka ianya tidak membatalkan puasa.
Kami menasihatkan agar suntikan insulin ini tidak dilakukan di bahagian perut atau punggung. Ini adalah dua bahagian yang hampir dan bersambung kepada rongga. Namun perlu diingati bahawa suntikan insulin ini ada kesan sampingannya iaitu hipoglisemia. Ia boleh menyebabkan paras gula dalam badan menjadi terlalu rendah sehingga boleh melemahkan badan. Dalam keadaan seperti ini, maka diberi pilihan kepada pesakit untuk berbuka puasa dan boleh diganti puasanya itu. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
أَيَّامًا مَّعْدُودَٰتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ
Maksudnya: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”
Surah al-Baqarah (184)
Kami juga mengesyorkan bagi pesakit diabetes seperti persoalan di atas, hendaklah merujuk kepada pakar atau pegawai perubatan untuk mendapat nasihat serta mengamalkan cara suntikan agar ia benar-benar memberi manfaat dan tidak mendatangkan sebarang bentuk mudarat.
Kami akhiri dengan berdoa kepada Allah semoga Allah memberi kesihatan kepada kita semua:
اللَّهُمَّ اشْفِ مَرْضَانَا وَعَافِ مُبْتَلَانَا وَارْحَمْ مَوْتَانَا
Maksudnya“Ya Allah! Sembuhlah orang sakit di kalangan kami. Afiatkanlah orang yang diuji di kalangan kami dan rahmatilah orang yang telah mati di kalangan kami.”

No comments:

Post a Comment