Sunday, 5 May 2019

ibu Adelina bidas pembebasan majikan yang mendera anaknya

Ibu kepada pembantu rumah warga Indonesia, Adelina Jerima Sau, yang meninggal dunia tahun lepas kerana kecederaan yang dialami semasa berkhidmat, terkejut dengan keputusan mahkamah membebaskan tertuduh dalam kes pembunuhan anaknya.

Yohana Banunaek berkata, dia sentiasa rasa sesal selepas anak perempuannya itu meninggalkan rumah mereka di Kupang, Nusa Tenggara Timur, Indonesia untuk mencari kerja dan menghantar wang kepada keluarga.

“Tapi sekarang saya dengar berita kata majikannya telah dibebaskan,” kata Banunaek dalam bahasa asalnya di Youtube yang diterbitkan semalam.

“Saya tak boleh terima. Kenapa majikannya dibebaskan? Kalau dia dibebaskan di Malaysia, saya minta majikannya dibawa ke Kupang kerana kami mahu bertemu dengannya.”




Adelina mengulangi dakwaannya bahawa anak perempuannya itu meninggal dunia “bukan kerana sakit tapi kerana didera”.

“Dia tidur dengan anjing dan makan dengan anjing,” kata ibunya, dengan suara yang cuba menahan air mata.

Banunaek merayu kerajaan Malaysia selaku pemerintah, NGO dan ketua-ketua agama supaya membantu keluarganya “mencari penyelesaian” dan menegakkan keadilan.

Adelina dilapor hanya berusia 17 tahun ketika dihantar keluar negara. Dilaporkan dokumen palsu Adelina menyatakan usianya 6 tahun lebih tua daripada usia sebenar.

Ibunya sebelum ini berkata seorang lelaki tidak dikenali datang ke kampung mereka, yang terletak kira-kira 7 jam perjalanan daripada bandar Kupang, menawarkan anaknya kerja di Malaysia tetapi mereka menolak tawaran itu.

“Lelaki itu datang lagi dengan semua dokumen palsu dan keesokannya Adelina tidak dapat ditemui. Kami percaya dia pergi ikut lelaki itu,” kata Banunaek tahun lepas.

Adelina kemudian bekerja untuk Ambika MA Shan di rumahnya di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam di Pulau Pinang.

Seorang jiran ternampak Adelina dengan kecederaan pada tangan dan kaki.

Dia memaklumkan perkara itu kepada pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, yang memaklumkan polis dan NGO hak asasi manusia, Tenaganita.

Dia dibawa ke Hospital Bukit Mertajam, dan kemudian meninggal dunia.

Dilaporkan Adelina dilihat tidur bersebelahan seekor anjing di belakang rumah itu selama 2 bulan.


Ambika dibebaskan daripada tuduhan membunuh Adelina di Mahkamah Tinggi pada 18 April, selepas pendakwaraya minta dia dilepaskan tanpa dibebaskan.

Dia ditahan sejak 21 Februari tahun lepas.

Pembebasan itu mengundang bantahan keras daripada persatuan-persatuan sivil dan Indonesia, yang berkata pembebasan Ambika bermakna tiada keadilan untuk Adelina.

Sim kemudian berkata Peguam Negara Tommy Thomas memaklumkan beliau sendiri akan menyiasat kes itu untuk mengambil tindakan seterusnya

No comments:

Post a Comment