Wednesday, 8 May 2019

Kisah Islam di Istana England


Ini kisah tentang Queen Victoria, buyut (great-great grandmother) kepada Queen Elizabeth yang sekarang iaitu nenda kepada Prince William dan Harry yang sentiasa mendapat perhatian umum.Kisah persahabatan baginda ratu Victoria dengan seorang Islam bernama Abdul Karim.

Filem ini berdasarkan kisah benar dan dari jurnal Abdul yang ditemui oleh warisnya pada 2010.


Sewaktu menonton filem ini, tersentuh saya apabila Queen Victoria yang sedang nazak mengucapkan kata-kata dalam bahasa urdhu dan kemudian dia ucapkan "Alhamdulillah".

Sewaktu dia meninggal, Abdul Karim mencium kaki baginda yang dianggapnya seperti ibu dan mengungkapkan "Inalillahi wainailaihi rojiun".

Filem ini diarahkan oleh Stephen Frears yang dilahirkan di England pada pandangan saya, tidak prejudis kepada agama Islam atau "person of colour". Malahan Abdul seorang Islam dan berbangsa India digambarkan dengan cara yang positif sebagai seorang yang setia dan bijak walaupun daripada kasta rendah. Filem ini mendapat 'rating' yang tinggi dan filem ini mula ditayangkan di United Kingdom.

Queen Victoria adalah pemerintah monarki yang paling lama dalam mana-mana kerajaan sewaktu itu. Pada ketika dia berusia 81 tahun, rakyat dibawah jajahannya menghampiri 1 billion. Baginda juga mempunyai 11 Perdana Menteri yang berkhidmat dibawahnya secara bersilih ganti dan baginda telah meluluskan 2,347 rang undang-undang. Baginda memerintah selama 63 tahun sehingga kemangkatannya.

Berkisahkan Queen Victoria yang sunyi setelah kematian suami dan pekerja yang dianggap sahabat rapatnya iaitu Mr. Brown. Abdul seorang kerani muda telah dihantar ke istana untuk membawa pemberian kepada Ratu semperna sambutan Jubilee Emas. Abdul sentiasa mendengar kisah Queen Victoria yang telah tua, anak-anak baginda ini telah besar dan tidak memberi perhatian kepada ibu mereka.

Sewaktu menjalankan tugas bersama ratu, Abdul mula bercerita tentang negara India kepada si Ratu, waktu itu India di bawah jajahan England. Bercerita tentang betapa indahnya Taj Mahal, tentang betapa sedapnya buah mangga. Sehingga menyebabkan baginda ratu betul-betul berminat dan teringin. Queen Victoria tidak pernah merasa buah mangga, baginda ratu teringin dan mengarahkan orang istana membawa mangga dari India baginda rasa.

Pada satu hari baginda ratu meminta Abdul mengajarnya bahasa di negara India. Memandangkan terdapat banyak bahasa di India, Abdul cadangkan untuk ratu belajar bahasa Urdu (kini dikenali sebagai Hindustani) kerana pada Abdul itu adalah bahasa Agung. Queen Victoria telah menaikkan pangkat Abdul dengan melantik Abdul Karim sebagai Munshi yang bermaksud guru.

Abdul mula memperkenalkan Al-Quran dan Islam kepada Queen Victoria. Queen Victoria berminat untuk tahu dan mendengar tentang Islam. Queen Victoria juga belajar tulisan jawi. Abdul menggunakan peluang untuk memperkenalkan Islam kepada Queen Victoria.

Baginda ratu sangat sayang kepada Abdul, diberikan pelbagai keistimewaan yang ada sehingga mengakibatkan istana menjadi benci dan cemburu kepada Abdul. Mereka menganggap Abdul sebagai golongan bawahan, person with colour dan seorang Islam, oleh yang demikian tidak layak langsung dimuliakan. Queen Victoria tetap dengan pendiriannya. Abdul adalah satu-satunya "people with colour" dan Islam yang diangkat setinggi-tinggi darjat oleh kerajaan England sewaktu itu atau mungkin sekarang.

Apabila orang istana cuba membawa cerita  tentang Abdul, Queen Victoria beranggapan mereka sengaja mengada-adakan cerita dan memanggil orang istana sebagai "racist". Queen Victoria benar-benar menganggap Abdul sebagai anaknya. Bukan sahaja Abdul mendapat layanan istimewa malahan isterinya dan keluarganya juga diangkat kedudukannya oleh baginda ratu.

Filem ini memang wajib ditonton. Gaya penyampaian yang langsung tidak prejudis dan tidak stereotype 'islamophobia'. Tentang kisah persahabatan, tentang pandangan sahabat yang tidak diskriminasi, tentang pertembungan budaya, tentang hormat-menghormati. Mesej yang sangat kuat. Saksikan kesudahan Abdul setelah Queen Victoria mangkat, bagaimana tindakan pihak istana yang telah lama mencari peluang untuk mengambil tindakan pada Abdul. Menitis air mata saya melihatkan kasih sayang umpama seorang ibu kepada anaknya yang tidak mengira pangkat dan darjat kedudukan.

Saya berharap kebijaksanaan Abdul menyampaikan tentang budaya dan agama ini kita terapkan dalam diri kita. Berdakwah itu tidak semestinya semata-mata dalam majlis ilmu atau sewaktu program rasmi kuliyah atau ceramah. Berdakwah juga boleh sewaktu sembang kedai kopi, boleh juga menulis santai dalam Facebook seperti tulisan saya ini, boleh juga sewaktu mempromosikan perniagaan atau juga dakwah berdasarkan perlakuan dengan sifat-sifat yang terpuji yang menjadi ikutan ramai. Sesungguhnya orang bijak itu sentiasa bijak menggunakan peluang.

Saksikan bagaimana dakwah secara perlahan oleh Abdul kepada Queen Victoria yang merupakan Ratu England disampaikan secara sedikit demi sedikit. Ilmu baik kita share.

Saya memang suka menonton filem bergenrekan bibliografi kerana menambah ilmu pengetahuan sejarah dengan cara penyampaian mudah. Terasa bijak lebih sikit. Hahah

Nor Zabetha

1 comment:

  1. Penah tgok cerita ni dlam astro.sgt2 bes..bginda tlmpau sygkan abdul smpai ada dengki dgan keistimewaan yg abdul dpat..las skali dlam cita tu,lepas bginda mnggal,abdul buat ptung sebjik mcm bgnda di tmpatnya sbg tnda igtn

    ReplyDelete