Tuesday, 7 May 2019

Lapangan terbang Kulim mahu ‘menghukum’ Pulau Pinang - P Ramasamy


Kerajaan Pulau Pinang mengulangi bantahannya terhadap projek lapangan terbang antarabangsa yang dicadangkan di Kedah, mendakwa ia bertujuan menjejaskan kejayaan ekonomi negeri tersebut, di mana kerajaan “dominasi Melayu” Barisan Nasional menganggapnya sebagai “menyakitkan mata”.

“Terdapat beberapa percubaan sejak 6 dekad yang lalu oleh mereka yang berkuasa untuk mengurangkan keberkesanan tarikan Pulau Pinang di wilayah utara,” kata Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy.

Katanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas jauh lebih baik daripada lapangan terbang di Kedah dan Perak.

“Tiada alasan logik untuk wujudkan lapangan terbang di Kulim melainkan untuk menghukum Pulau Pinang kerana kejayaannya,” katanya dalam komen yang menggambarkan bantahan berterusan kerajaan negeri terhadap projek lapangan terbang baru di Kulim itu.




Baru-baru ini, Putrajaya memberitahu negeri itu supaya tidak merasa terancam dengan projek lapangan terbang Kulim yang bernilai RM1.6 bilion, dengan alasan pembinaannya dibiayai pihak swasta.

Kerajaan negeri sebelum ini berkata, kajian menunjukkan Pulau Pinang akan rugi apabila lapangan terbang Kulim wujud.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata minggu lepas, walaupun projek di Kulim itu hanya untuk perkhidmatan kargo, ia masih memberi kesan negatif kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Ramasamy berkata, Pulau Pinang menjadi sasaran kerajaan lalu disebabkan komposisi kaumnya dan pencapaiannya yang “ganjil” dalam pembangunan bandar dan komersial.

“Keperluan projek pembangunan besar seperti lapangan terbang di Kedah atau di wilayah utara perlu dilihat dalam konteks sejarah perhubungan kaum secara lebih luas dan keazaman BN yang didominasi Melayu untuk mengurangkan pembangunan dan pertumbuhan Pulau Pinang,” katanya.

Idea mewujudkan lapangan terbang di Kulim dibuat Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

Tetapi Ramasamy bertanya sama ada fasiliti lapangan terbang di Alor Setar dan Langkawi sudah digunakan sepenuhnya hingga lapangan terbang ke-3 diperlukan di Kedah.

Beliau juga mempersoalkan sokongan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terhadap projek lapangan terbang itu.

“Lapangan terbang itu mungkin disukai Mahathir, tetapi seperti semua projek, ia tetap memerlukan, antara lain, kajian kelayakan, termasuk penilaian impak sosial, penilaian impak trafik dan penilaian impak alam sekeliling.

“Saya percaya mereka di Putrajaya gagal memahami perasaan rakyat Pulau Pinang mengenai perkara berkaitan lapangan terbang itu.

“Mereka tidak boleh buat andaian bahawa apa yang baik untuk kerajaan persekutuan baik juga untuk kerajaan Pulau Pinang,” katanya. FMT


No comments:

Post a Comment