Friday, 3 May 2019

Lelaki dari Gelugor ditahan Polis kerana mengugut untuk mencederakan Dr MAZA


Kurang 24 jam selepas seorang lelaki mengugut untuk menumbuk sehingga mencederakan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin di laman Facebook kelmarin, suspek berjaya diberkas di Pulau Pinang, awal pagi ini.

Lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai kerani itu ditahan di rumahnya di Gelugor.



Penahanan itu disahkan Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, penahanan tersebut dilakukan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Semalam, Mohd. Asri membuat laporan polis setelah menerima ugutan daripada seorang pemilik akaun Facebook untuk mencederakannya.

Mohd. Asri menerima kiriman mesej ugutan itu melalui Facebook ketika berada di rumahnya di Padang Besar dekat sini, kira-kira pukul 6 petang.

Dalam kiriman mesej tersebut, pemilik akaun bernama ‘Sandev Sandev’ itu mengugut untuk menumbuk Mohd. Asri sehingga cedera.

Pemilik akaun itu turut menyertakan satu nombor telefon dan meminta Mohd. Asri supaya menghubunginya sebelum dia datang mencari.

Mohd. Asri sebelum ini mempersoalkan penahanan reman Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia Perlis, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu yang juga seorang pendakwah, kerana didakwa telah menghina agama Hindu.

Menurut beliau penahanan itu adalah tidak wajar kerana Muhammad Zamri hanya berkongsi pengalaman hidupnya di hadapan umat Islam di sebuah masjid secara tertutup, baru-baru ini.

Beliau sebaliknya melahirkan rasa hairan dan kesal apabila tindakan seorang individu yang mengugut beliau dan Muhammad Zamri menerusi satu rakaman klip video tidak ditangkap. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment