Friday, 10 May 2019

Matrikulasi bukan pintu belakang pelajar Melayu masuk universiti - Teo Kok Seong


Seorang ahli akademik berkata perkataan “pintu belakang” yang digunakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi merujuk pelajar Melayu di kolej matrikulasi kerajaan memberi tanggapan negatif dan tidak tepat.

Felo Penyelidik Utama Bersama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Teo Kok Seong berkata ini kerana perkataan itu seolah-olah menunjukkan ada satu perancangan licik untuk pelajar Melayu masuk ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Saya kira mungkin Dr Mahathir tersasul kerana jika lihat tujuan mewujudkan matrikulasi adalah membantu mempertingkatkan jumlah pelajar Melayu.

“Matrikulasi bukan satu perancangan licik, tetapi satu dasar ekonomi baru yang dipersetujui semua kaum,” katanya 


Terdahulu, Mahathir memberi komen berhubung debat tentang bilangan tempat yang terhad untuk pelajar bukan Melayu di kolej matrikulasi kerajaan dengan berkata, program pra universiti itu dibuat bagi memudahkan pelajar Melayu masuk universiti.

“Kita adakan kelas matrikulasi kerana kita dapati pelajar Melayu tidak mahu ambil Sijil Tinggi Pelajaran (STPM), jadi tidak boleh masuk universiti.


“Jadi kita adakan pintu belakang kepada mereka. Ia memang berperanan sebagai pintu belakang untuk pelajar Melayu,” katanya.

Program matrikulasi adalah kursus pra universiti untuk pelajar yang menamatkan peperiksaan Tingkatan 5 Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pelajar boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah setelah menamatkan kursus matrikulasi, biasanya dalam tempoh 1 hingga 2 tahun.

Program itu popular kerana ia lebih murah daripada kursus pra universiti lain, selain mempunyai peluang lebih cerah untuk diterima masuk ke universiti awam.

Bulan lepas, Putrajaya berkata ia akan mengekalkan kuota 90% untuk pelajar Bumiputera bagi program matrikulasi, tetapi pada masa sama menambah jumlah kemasukan pelajar dari 25,000 ke 40,000 orang.

Mengulas lanjut, Teo akui matrikulasi lebih senang daripada STPM, berikutan tempoh pengajiannya lebih singkat.

Bagaimanapun beliau menyelar tindakan kerajaan menambah jumlah kemasukan pelajar ke matrikulasi.

“Sekarang nampaknya diberi betis nak peha pula. Nak lebih banyak sehingga kerajaan buat keputusan tidak bijak.

“Kerajaan tidak fikir implikasinya berikutan kuota kemasukan pelajar ke IPTA sebelum ini 45,000 pelajar setahun. Jadi ini menyukarkan pelajar STPM masuk ke IPTA,” katanya.


Teo berkata jika dulu kemasukan seimbang tetapi kini ia memberi implikasi besar kepada calon STPM kerana peluang masuk IPTA jadi sempit dengan pertambahan pelajar matrikulasi.

No comments:

Post a Comment