Tuesday, 14 May 2019

#PenangInternationalAirport Lelaki sembunyi dalam tayar kapal terbang untuk pulang ke Medan



Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia kerana menceroboh kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan bersembunyi dalam ruang tayar sebuah pesawat kargo.

Sumber berkata kejadian itu disedari seorang juruteknik yang sedang membuat penyelenggaraan kapal terbang kargo berkenaan kira-kira pukul 10 pagi tadi.

"Juruteknik itu ternampak lelaki Indonesia berusia 39 tahun berkenaan keluar dari tempat persembunyian iaitu tayar pesawat berkenaan sebelum juruteknik itu memaklumkan pasukan kawalan keselamatan untuk tindakan lanjut," katanya di George Town malam ini.

Katanya lelaki yang bekerja di tempat memproses ayam sejak sembilan bulan lepas berjaya ditahan pasukan kawalan keselamatan sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Difahamkan lelaki itu dikatakan bertindak sedemikian kerana mahu pulang ke Medan, Indonesia namun tidak mempunyai wang yang cukup berikutan majikannya tidak membayar gajinya sejak dua bulan lepas.

Sumber itu berkata lelaki terbabit berjaya masuk ke kapal terbang berkenaan selepas menceroboh pagar yang berlubang berhampiran tanah perkuburan di Permatang Damar Laut dan berjalan menuju ke pesawat yang diparkir pukul 12 tengah malam tadi.


Suspek seterusnya bersembunyi di bahagian tayar pesawat kargo berkenaan sejak awal pagi sebelum dia keluar dari tempat persembunyian berkenaan apabila terdengar suara juruteknik tersebut.

Sementara itu,Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Jafri Md Zain ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya suspek akan direman dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sebanyak RM1,000 atau kedua-duanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment