Wednesday, 1 May 2019

Selepas dilebel pekak, MAZA persoal mana dialog pelbagai agama

 Dua hari selepas dilabel “pekak” oleh perdana menteri, mufti Perlis hari ini mendakwa kerajaan Pakatan Harapan mengabaikan cadangannya untuk mewujudkan dialog antara agama bagi membincangkan isu berkaitan sensitiviti agama.

Mohd Asri Zainul Abidin berkata, cadangan itu disuarakannya dalam pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy pada Julai tahun lalu.

Pertemuan itu diatur Mujahid susulan pertikaian terbuka antara Ramasamy dan Asri, selepas pemimpin DAP itu berulang kali menggesa Putrajaya menghantar penceramah kontroversi, Zakir Naik pulang ke India kerana didakwa dikehendaki kerajaan negara itu.


Asri berkata, beliau menghadiri pertemuan itu walaupun “majoriti umat Islam tidak setuju” dengan tindakannya demi menjaga keharmonian agama dan menghormati kedudukan pengurusan Islam di negara ini.




“Antara yang saya cadangkan semasa pertemuan tersebut yang kelihatan menteri bersetuju dan Ramasamy juga menyokong penuh ialah satu platform dialog kebangsaan yang diwakili pemimpin-pemimpin pelbagai agama diwujudkan.

“Isu-isu yang membabitkan sensitiviti antara agama dibincangkan di situ terlebih dahulu. Ini bagi mengelakkan ketegangan antara rakyat dalam negara ini,” tulisnya di Facebook hari ini.

Asri berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia disaran mengendalikan cadangan itu dan Mujahid “kelihatan sangat setuju”.

“Dukacita, perkara itu tidak berlaku sehingga hari ini. Saya tidak tahu di mana ‘tersangkut’ hal itu.”

Pada 30 Julai 2018, media melaporkan Asri dan Ramasamy bersetuju menyerahkan isu berkaitan kumpulan militan, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan Naik untuk disiasat pihak berkuasa serta kerajaan.

Mujahid dilaporkan berkata, pertemuan itu bertujuan meminta penjelasan mengenai dakwaan terhadap Ramasamy serta meredakan keadaan dengan Asri yang menggesa DAP menyuarakan pendirian, selepas tersebar gambar Ramasamy memberi penghormatan kepada gambar senapang Kalashnikov dan menerima kunjungan ahli politik India yang menyokong LTTE.

Ramasamy dilaporkan kesal dengan gesaan Asri dan berkata jika beliau seorang pengganas, sudah tentu DAP tidak akan membenarkannya menyertai parti itu dan polis menahannya.

Hari ini, Asri mendakwa pelbagai kenyataan sensitif, khasnya membabitkan umat Islam sering kedengaran.

“Hampir setiap bulan, bahkan minggu timbul isu-isu baru yang membuat banyak pihak gelisah khususnya umat Islam.

“Tiada satu langkah proaktif yang dilaksanakan. Saya tidak pasti apakah pentadbiran berhasrat mengambil langkah sewajarnya dalam mengawal keadaan yang ada?” soalnya.

Isnin lalu, Asri mendakwa suara “mempertahankan Islam” sukar kedengaran dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan hari ini, selepas sekutunya yang juga pendakwah, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu ditahan atas dakwaan menghina agama Hindu

No comments:

Post a Comment