Tuesday, 7 May 2019

SPRM tahan seorang lagi anggota, turut panggil Pengarah JPJ Pulau Pinang



PULAU PINANG 7 Mei - Ketua Pembantu Penguat Kuasa Gred KP22 menjadi pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri terbaharu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersabit kes rasuah lori kebal.

Pegawai berusia 52 tahun itu hadir ke ibu pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 10 pagi tadi untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.


Difahamkan, pegawai berkenaan hadir dalam keadaan belum sembuh sepenuhnya daripada kecederaan selepas dilaporkan terbabit dalam kemalangan jalan raya bulan lalu.


Malah, dia juga sepatutnya hadir memberi keterangan bersama seramai 21 pegawai JPJ yang ditahan dalam fasa ketiga bulan lalu, namun diberi pengecualian ekoran terlibat dalam kemalangan itu.


Menurut sumber SPRM, pegawai itu ketika ini sedang diambil keterangan namun djangka dibebaskan hari ini.

“Pegawai berkenaan sebelum ini dikecualikan hadir memberi keterangan kepada SPRM kerana masih dalam tempoh cuti sakit dan dia dijangka dibebaskan petang ini,” demikian menurut sumber berkenaan.

Sementara itu, sumber berkenaan memberitahu, SPRM semalam turut memanggil Pengarah JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor untuk diambil keterangan sebagai saksi di ibu pejabat SPRM di sini.

Buat masa ini, tambahnya, SPRM tidak bercadang memanggil mana-mana bekas pengarah JPJ negeri yang lain bagi membantu siasatan.

Sejak terbongkarnya kes rasuah membabitkan lori kebal di negeri ini itu awal bulan lalu, SPRM sehingga kini telah menahan seramai 80 individu dengan lebih 70 daripada mereka merupakan penguat kuasa JPJ negeri.

Turut ditahan ialah bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan orang awam terdiri daripada proksi, tonto dan pemilik syarikat lori terlibat.

Daripada jumlah itu juga, seramai 31 penguat kuasa JPJ dibenarkan ditahan reman selama seminggu dalam tiga fasa bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar negeri ini.

Semua penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 itu dipercayai menerima bayaran bulanan sebanyak RM10,000 sebulan dan sehingga kini jumlah terkumpul bagi kesemua wang rasuah tersebut sudah melebihi RM140,000. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment