Friday, 31 May 2019

#SungaiLokan Gagal curi lembu guna Honda Civic



Tiga lelaki yang cuba mencuri seekor lembu jenis Brahman dengan menggunakan kereta jenis Honda Civic menerima padah apabila perbuatan mereka disedari penternak haiwan berkenaan di Jalan Sungai Lokan, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 pagi itu, ketiga-tiga suspek berusia 24 hingga 26 tahun ditahan sendiri oleh penternak lembu berusia 52 tahun sebelum menyerahkkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.




Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ketika kejadian penternak lembu tersebut terdengar bunyi anjing menyalak berhampiran rumahnya.

“Apabila melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kandang lembu miliknya, dia melihat dua buah kereta yang dinaiki beberapa lelaki tidak dikenali berhampiran kandang miliknya.

“Suspek dilihat menyumpit ubat pelali ke arah dua ekor lembu di kandang tersebut namun mereka hanya sempat menyumbat seekor lembu jenis Brahman ke dalam kereta jenis Honda Civic sebelum melarikan diri berikutan perbuatan mereka disedari pemilik haiwan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemilik lembu itu kemudian mengejar kereta dinaiki suspek sehingga menyebabkan kenderaan mereka terlanggar besi longkang lalu terbabas dan sebelum ditahan.

“Polis kemudiannya membawa kesemua suspek ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan akibat mengalami kecederaan di kepala dan dirawat sebagai pesakit luar.

“Siasatan mendapati salah seorang daripada tiga suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya.

Noorzainy menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE











No comments:

Post a Comment