Thursday, 9 May 2019

#TelukKumbar Nyaris Maut Pokok Ketapang Hempap Rumah


Sepasang suami isteri warga emas yang sedang tidur nyaris maut selepas rumah mereka  dihempap sebatang pokok ketapang dalam kejadian di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, Hasshim Ahmad, 76, dan isterinya Salbiah Man, 74, sedang tidur dalam bilik sebelum pasangan berkenaan terjaga selepas terdengar bunyi dentuman kuat.

Hasshim berkata sebaik dengar bunyi dentuman itu, beliau dan isteri terus bangun untuk melihat apa yang berlaku, dan mendapati rumah mereka dihempap sebatang pokok ketapang yang berusia lebih 50 tahun, yang tumbang ketika angin kuat.


“Bunyi dentuman sangat kuat dan waktu itu saya serta isteri langsung tidak menyangka rumah kami di timpa pokok ketapang yang berada di hadapan rumah.. tapi bila keluar dari bilik nampak bumbung rumah telah rosak dan pokok jatuh di ruang tamu,” katanya ketika di temui di rumahnya di sini hari ini.



Katanya beliau dan isteri terus keluar dari rumah jenis setingkat itu kerana bimbang perkara tidak di ingini berlaku sebelum menghubungi anaknya Rosita dan beberapa penduduk di situ bagi meminta bantuan.

Hasshim berkata beliau bersyukur kerana dia dan isteri tidak mengalami sebarang kecederaan namun banyak barangan dalam rumah mereka rosak akibat kejadian, dan rumah mereka turut dimasuki air akibat hujan lebat sepanjang malam.

Beliau berkata buat sementara waktu, mereka akan tinggal di rumah anaknya yang terletak berhampiran rumah mereka dan berharap ada pihak sudi membantu membaiki kediaman yang mereka tinggal sejak 15 tahun lepas.

“Buat masa ini, rumah ini tak selamat untuk didiami dan alhamdulilah pokok itu tak terkena pada rumah jiran. Cuma pak cik dan isteri masih trauma serta terkejut dengan kejadian berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata kerja mengalihkan pokok ketapang sebesar dua pemeluk dewasa itu mengalami kesukaran kerana pokok berkenaan menghempap keseluruhan bumbung rumah berkenaan.

“Kerja-kerja pembersihan di jalankan oleh  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan bantuan  beberapa pihak  lain.Mereka menggunakan bantuan ‘sky lift’ untuk mengalih pokok berkenaan” katanya.

No comments:

Post a Comment