Tuesday, 21 May 2019

Utara Perak akan turut terjejas akibat tambak laut Pulau Pinang



Kemusnahan alam sekitar dan hidupan marin akibat cadangan projek tambak laut di perairan selatan (PSR) negeri ini tidak hanya akan berlaku di negeri ini, malah turut melibatkan kawasan laut di utara Perak.

Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin berkata, ini kerana aktiviti tambakan itu akan menyebabkan berlakunya perlombongan pasir di dasar laut yang menjejaskan kehidupan lebih 6,000 nelayan di kawasan Tanjung Piandang sehingga ke Manjong, Perak.

Katanya, aktiviti pelombongan pasir itu akan berlaku sehingga ke kawasan pesisir pantai Perak sekali gus menyebabkan berlakunya kawah besar di dasar laut yang lama-kelamaaan mengakibatkan hidupan marin pupus selain hakisan.


“Bukan hanya nelayan di Pulau Pinang terjejas akibat projek PSR ini, nelayan di utara Perak juga akan terkesan akibat projek yang tidak sepatutnya dilaksanakan ini,” katanya.

Tandatangani petisyen bantahan di sini: https://www.change.org/p/prime-minister-of-mala…/u/24576277…


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantah projek PSR di Pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), di sini hari ini.

Antara wakil NGO yang hadir adalah Sahabat Alam Malaysia (SAM); Penang Forum dan Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring).

Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan PSR seluas 1,800 hektar bagi membentuk tiga buah pulau buatan yang akan digunakan untuk membiayai pelbagai projek dirangka menerusi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) termasuk terowong dasar laut dan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT).

Menurut Hafizudin, kewujudan tiga buah pulau buatan menerusi projek PSR itu juga dijangka mengubah haluan ombak di mana kawasan pantai Tanjung Piandang di Perak dan Nibong Tebal di sini akan menerima kesan hakisan akibat daripada perubahan ombak.

“Tanjung Piandang dan Nibong Tebal adalah kawasan yang kaya dengan paya bakau dan akibat daripada perubahan ombak, dijangka berlaku hakisan di kawasan paya bakau.

“Akibatnya udang, kerang dan habitat hidupan di paya bakau akan musnah sehingga mendatangkan kesan buruk kepada masa depan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, kumpulan NGO terdiri daripada kumpulan nelayan, alam sekitar dan banyak lagi telah melancarkan petisyen dalam talian versi bahasa Melayu kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menggesa beliau menolak projek PSR.

“Petisyen ini turut disokong oleh 45 NGO lain dan sejak dilancarkan Jumaat lalu, ia telah mendapat 12,000 tandatangan.

“Petisyen ini dijangka diserahkan pada Perdana Menteri pada sesi Parlimen akan datang,” katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment