Tuesday, 18 June 2019

#Bertam Lelaki mabuk langgar peniaga nasi lemak hingga mati direman empat hari

Lelaki yang ditahan selepas kereta dipandunya merempuh gerai nasi lemak dan kuih muih sehingga menyebabkan seorang peniaga maut manakala suaminya parah di Jalan Bertam Indah, di sini semalam, direman selama empat hari.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk berusia 31 tahun itu direman untuk membantu siasatan berhubung kemalangan berkenaan.


“Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu dan selepas ini akan menghantarnya kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, ujian air kencing mendapati pemandu kereta yang bekerja sebagai tukang besi itu positif dadah jenis ganja dan tiada lesen memandu, manakala kenderaan yang digunakannya tiada cukai jalan.

Dia disiasat menurut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

Peniaga, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah hari semalam ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas dilanggar kenderaan itu dalam kejadian pada jam kira-kira 10 pagi yang turut menyebabkan suaminya, Mat Subri Saad, 44, cedera parah di kepala dan tangan dan kini dirawat di hospital yang sama.

No comments:

Post a Comment