Friday, 14 June 2019

#BukitMertajam Imigresen Pulau Pinang cekup Penggali kubur



Bukit Mertajam, 13 Jun - Bekerja di persekitaran yang sunyi berteman jasad yang disemadi, itu antara taktik terbaru Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) mengelakkan diri daripada dicekup pihak berkuasa.

Dahulunya mereka memilih untuk bekerja di restoran, kedai atau kilang namun akibat daripada kekerapan operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa, kini mereka telah beralih arah kepada sektor pekerjaan yang kurang menjadi tumpuan.




Dalam operasi yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkusa Imigresen Pulau Pinang ke atas sebuah Tapak Perkuburan telah mengesan  keberadaan PATI yang disyaki diambil bekerja oleh majikan yang tidak bertanggungjawab.

Menurut Pengarah Imigresen Negeri Pulau Pinang Muhamad Husni Mahmud, dalam serbuan yang dijalankan itu seramai 13 orang warga asing dan tempatan telah diperiksa.

Hasil daripada pemeriksaan yang yang dijalankan 1 wanita dan 6 lelaki Bangladesh, 1 lelaki Myanmar dan 1 lelaki Pakistan telah berjaya ditangkap kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di Malaysia dan melanggar syarat-syarat Pas.

Turut ditangkap adalah seorang warganegara Malaysia yang disyaki sebagai orang yang membenarkan PATI berada dalam premis berkenaan.

Menurut Muhamad Husni lagi , operasi memburu PATI akan diperhebatkan selaras dengan Pelan Holistik Penguatkuasaan Pendatang Asing Tanpa Izin yang telah diumumkan oleh YB Menteri Dalam Negeri pada 9 Jun lalu.

Pelan yang diumumkan itu akan dilaksana dalam tempoh lima tahun dengan memperkukuh tadbir urus dan tambah baik sistem kerja penguatkuasaan sedia ada yang akan melibatkan kerajaan negeri, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK).

No comments:

Post a Comment