Tuesday, 18 June 2019

#BukitMertajam Pekerja kilang Jingko Solar adakan demonstrasi aman selepas digelar sampah



Berang digelar ‘sampah’, lebih 200 pekerja sebuah kilang pembuatan solar di Lorong Perusahaan 4B, Perai di sini hari ini mengadakan demonstrasi aman bagi membantah kenyataan sensitif itu yang didakwa dikeluarkan oleh seorang pengurus kilang berkenaan.

Demonstrasi bermula pada pukul 8.30 pagi itu berakhir pukul 10.30 pagi tadi selepas pengurus kilang berkenaan yang didakwa mengeluarkan kenyataan itu tampil memohon maaf secara terbuka kepada pekerja.








Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, mogok dan demonstrasi aman itu berlaku apabila pekerja kilang berkenaan tidak berpuas hati dengan dengan kenyataan salah seorang pengurus di situ yang didakwa telah menghina pekerja kilang tersebut.

“Pekerja berkenaan meminta pengurus kilang ini membuat permohonan maaf secara terbuka sehingga lelaki berusia 39 tahun itu bersetuju berbuat demikian.

“Pengurus berkenaan telah keluar bagi bertemu wakil pekerja kilang ini kira-kira pukul 9.30 pagi dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada mereka,” katanya di sini hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan, mogok dan demonstrasi aman itu dipercayai berpunca daripada tangkap layar perbualan WhatApss pengurus berkenaan yang tular di dalam laman sosial Facebook.




“Menerusi tangkap layar itu, seorang lelaki yang didakwa sebagai pengurus kilang berkenaan telah menggelar pekerja kilang ini sebagai ‘sampah’,” katanya.

Tambahnya, selain permohonan maaf secara terbuka daripada pengurus kilang itu, wakil pekerja kilang berkenaan juga telah bertemu dengan pihak pengurusan kilang dan menuntut semakan semula gaji dan elaun serta waktu bekerja yang fleksibel.

“Pada pukul 10.30 pagi, kesemua pihak yang terlibat telah bersurai dan mencapai kata sepakat.

“Pekerja yang masih tidak berpuas hati dinasihatkan untuk membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kerosakan dan kecederaan. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment