Sunday, 23 June 2019

#Dana1MDB Adakah Jawapan "tak tau" Mukhriz boleh diterima Dr. Mahathir ?


ALOR SETAR - Jawapan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa beliau tidak tahu mengenai dana yang kononnya daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disalurkan ke akaun UMNO Kedah semasa menjadi Pengerusi Badan Perhubungan parti itu adalah perkara biasa apabila ia berlaku di luar pengetahuan individu terbabit.

Bagaimanapun, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Mohamad Fadzil Zolkipli, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menolak apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat kenyataan tidak tahu mengenai dana yang didakwa masuk ke akaunnya dalam isu SRC International Sdn. Bhd.


Justeru soal Mohamad Fadzil, adakah kali ini dalam isu seakan-akan sama, Perdana Menteri boleh menerima jawapan Mukhriz itu.



“Sama seperti kes SRC, Mukhriz juga masih perlu tandatangan untuk menggunakan wang itu (dana didakwa dari 1MDB) sebagai pengerusi ketika itu.

“Jika kenyataan Mukhriz boleh diterima (oleh Dr. Mahathir) maka kenyataan Najib juga sepatutnya diterima jika menggunakan logik yang sama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Mukhriz yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri sebelum ini, mengakui tidak tahu mengenai dana 1MDB yang disalurkan ke akaun UMNO Kedah.

Beliau dilaporkan berkata, segala urusan berkaitan dana ketika itu diserahkan sepenuhnya kepada Bendahari UMNO negeri, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim

Sebelum itu, , Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mengumumkan agensi itu telah memfailkan permohonan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) untuk lucut hak bagi tujuan mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar dari salah guna kes 1MDB.

Pihak SPRM sudah mengenal pasti 41 individu dan entiti yang menjadi reponden kepada permohonan tersebut.

Menerusi tuntutan tersebut agensi itu mahu menuntut semula wang sebanyak RM270 juta yang dikatakan telah diberikan kepada pelbagai pihak termasuk Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Untuk rekod, Mukhriz pernah dilantik sebagai Menteri Besar pada tahun 2013 dan turut memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri selepas Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bagaimanapun beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada Februari 2016 setelah majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu memutuskan hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya sekali gus melepaskan jawatan sebagai Pengerusi UMNO Kedah.- UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a comment