Tuesday, 18 June 2019

#Georgetown 6 maut minum arak buatan sendiri

Enam lelaki termasuk dua warga tempatan maut akibat keracunan methanol selepas mengambil minuman keras dipercayai buatan sendiri dalam kejadian sejak April hingga Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mangsa yang maut berusia sekitar 40-an dan terdiri daripada dua warga tempatan, tiga Myanmar dan seorang warga India.


“Sejak April lalu, pihak polis menerima 13 laporan berhubung kejadian kes keracunan methanol dan daripada jumlah ini enam kes melibatkan kematian.


“Daripada 13 kes itu, terdapat tujuh laporan kes baharu yang dilaporkan berlaku sejak 11 Jun hingga 14 Jun melibatkan keracunan methanol,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani tujuh mangsa terbaharu itu yang bekerja sebagai buruh binaan di tapak projek di SP Chelliah di sini mendakwa mereka telah membeli arak berkenaan daripada seorang lelaki warga Myanmar yang menjual arak berkenaan di situ.

Katanya, susulan laporan terbaharu kes keracunan methanol itu, polis menyerbu sebuah kedai di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini dan merampas pelbagai jenis arak termasuk minuman keras buatan sendiri yang disimpan di stor kedai berkenaan.

“Seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai penjual minuman keras berkenaan ditahan di lokasi tersebut dan pihak polis merampas pelbagai jenis minuman keras dan cecair yang digunakan untuk membuat minuman keras.

“Arak buatan sendiri ini dipercayai akan diisi semula dalam botol-botol arak berjenama bagi menipu pembeli dan kemudiannya dijual dengan harga murah iaitu sekitar RM4 sahaja,” katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment