Wednesday, 12 June 2019

Hindari politik keji lagi jahat – Nurul Izzah

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyifatkan hari ini sebagai paling menyedihkan apabila negara kembali terpalit dengan politik kotor melalui penyebaran video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan.

Bekas naib presiden PKR itu mendakwa, penyebaran video berkenaan merupakan satu bentuk kegilaan dengan tuduhan jahat untuk menjatuhkan musuh politik.


“Ia tidak mempunyai tujuan lain selain daripada mematikan karier, reputasi dan pemimpin dengan menggunakan serangan peribadi dan fitnah kotor.


“Kita perlu bersatu dalam mengutuk perkara itu dan harus menjauhkan diri dari menyebarkannya (fitnah),” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Semalam tular dalam laman sosial mengenai rakaman video intim membabitkan dua lelaki yang seorang daripadanya didakwa menteri kabinet.

Awal pagi tadi, lelaki yang dikaitkan dengan video tersebut tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terlibat dalam aksi itu.

Dalam pada itu Nurul Izzah turut menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga pihak yang menjadi mangsa fitnah berkenaan.

Beliau menegaskan, politik kotor tidak sepatutnya berlaku dan sepatutnya semua pihak perlu fokus kepada perkara lebih penting untuk kebaikan negara.

“Mari kita fokus pada perkara yang lebih penting. Untuk menjadikan Malaysia lebih baik.

“Toksik jahat ini bukan sebahagian daripada budaya politik kita,” katanya. - UTUSAN ONLINE.

No comments:

Post a Comment